Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP PKR persoal model kewangan MRT3

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang meyuarakan keraguannya tentang kemampanan model kewangan kerajaan untuk projek transit aliran deras MRT3.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli parlimen PKR itu mendakwa entiti pembiayaan dan pengendali projek rel, Prasarana Malaysia Berhad dan DanaInfra Nasional Berhad, telah melanggar paras hutang semasa mereka.

“Sehingga kini, jaminan pinjaman kerajaan untuk DanaInfra dan Prasarana telah mencecah RM110 bilion dan dijangka meningkat lagi dengan projek MRT3,” kata Chang.

Selain itu, Chang mendakwa bahawa prestasi projek MRT1 boleh memberikan unjuran terhadap MRT2 dan MRT3.

“Seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kewangan, DanaInfra dan Prasarana masing-masing merekodkan hutang sebanyak RM76 bilion dan RM38.9 bilion menjelang akhir Jun 2021.

Chang Lih Kang

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM114.9 bilion, iaitu kira-kira 60.3 peratus daripada jumlah jaminan kerajaan, yang berada di luar bajet.

“Pada awal Mac, Kementerian Kewangan memberikan komitmen pembiayaan sehingga RM50 bilion untuk projek MRT3,” katanya.

Chang mendakwa bahawa sama seperti MRT1 dan MRT2, kos RM50 bilion untuk MRT3 mungkin akan dibiayai oleh jaminan pinjaman kerajaan di bawah DanaInfra.

“Oleh itu, hutang DanaInfra dijangka mencecah RM126 bilion dengan pelaksanaan projek MRT3.

“Ia kira-kira 40 peratus daripada bajet negara kita untuk 2022,” katanya.

Rakyat akan terbeban

Chang mendakwa jika jumlah penumpang untuk projek MRT2 dan MRT3 tidak mencapai dengan sasaran kerajaan, Prasarana tidak akan dapat bertahan.

“Ini bermakna kerajaan perlu membayar pinjaman mereka kerana ia adalah pinjaman yang dijamin kerajaan.

“Negara dan rakyat akan terbeban dengan cara perbelanjaan yang tidak berhemah ini,” tambahnya.

Chang kemudian mendakwa bahawa ketua juruaudit telah meletakkan DanaInfra dalam laporan 2018 mereka sebagai salah satu daripada lima syarikat yang tidak dapat membayar pinjaman sepenuhnya dengan sepatutnya.

“Kerajaan akhirnya menyuntik RM1 bilion kepada DanaInfra untuk membayar sebahagian daripada hutangnya.

“Walaupun kita tidak menjangka pengangkutan awam memberi pulangan yang sangat menguntungkan, pembinaan dan operasi infrastruktur rel mesti dibiayai dengan cara yang mampan,” katanya, sebelum mengulangi gesaannya sebelum ini untuk menghentikan projek itu.

Sebelum ini, Chang telah menggesa kerajaan menghentikan pelaksanaan projek MRT3 supaya jawatankuasa pilihan Parlimen dapat meneliti projek itu dengan lebih mendalam.

Malaysiakini telah menghubungi Prasarana dan DanaInfra untuk mendapatkan respons mengenai perkara itu tetapi masih belum berjaya.