Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramasamy: Zuraida, Saravanan dalam penafian isu buruh paksa

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa dua menteri kabinet, iaitu M Saravanan dan Zuraida Kamaruddin dalam penafian berhubung kewujudan buruh paksa di Malaysia.

Ia berikutan Zuraida, yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dilapor menyambut baik keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat untuk menubuhkan jawatankuasa kerja dengan kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa.

Meskipun begitu, menteri tersebut kekal mempertahankan pendirian mereka dengan mengatakan bahawa industri-industri di Malaysia tidak dilayan secara adil.

“Menyedihkan apabila kita dapati dua menteri kita (Menteri Sumber Manusia) Saravanan dan Zuraida berada dalam penafian berhubung isu buruh paksa.

“Kedua-duanya bercakap dengan terbukanya mengenai penubuhan jawatankuasa bersama dengan CBP AS untuk mengatasi dakwaan penggunaan buruh paksa secara meluas dalam industri, yang menggunakan tenaga buruh murah.

"Mereka fikir penubuhan jawatankuasa bersama dengan CBP AS mungkin dapat menangani dakwaan buruh paksa yang 'liar dan tidak berasas' ini," kata Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata menteri berkenaan bmesti menerima dan mengakui bahawa terdapat penggunaan buruh paksa secara meluas di negara ini, terutama di ladang dan di bahagian pengeluaran kemahiran rendah.

"Malaysia mungkin menggunakan panduan pertimbangan ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) mengenai buruh paksa, tetapi ini sahaja tidak mencukupi untuk menidakkan ketiadaan buruh paksa di negara ini.

“Saravanan dan Zuraida mungkin mempunyai pertemuan yang menyenangkan dengan pihak berkuasa AS berhubung penggunaan buruh paksa di Malaysia, tetapi hakikatnya, keadaan di mana produk-produk dari beberapa syarikat Malaysia dihalang masuk ke AS, mungkin memberikan beberapa petunjuk berhubung penggunaan buruh paksa," kata Ramasamy.

"Saravanan dan Zuraida tidak boleh terus mengelirukan rakyat Malaysia, seolah-olah dakwaan mengenai buruh paksa adalah tidak benar," tambahnya.

Perintah Pelepasan Penahanan

Semalam, Zuraida menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu sebagai satu langkah yang tepat, dengan mengatakan isu itu telah menjejaskan industri tempatan secara tidak adil, khususnya minyak sawit dan getah.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan berkepentingan lain tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS, yang kemudian mengakibatkan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia diharamkan.

"Ini sangat tidak adil kepada industri tempatan kita," dakwanya.

Sebelum ini, CBP AS telah bertindak terhadap dakwaan buruh paksa oleh syarikat seperti Top Glove dengan mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mendedahkan pada Mac tahun ini bahawa anggaran kerugian yang ditanggung oleh Top Glove Corporation Bhd sepanjang tempoh WRO yang dikenakan oleh CBP AS, ialah RM3.6 bilion.

Pada 15 Julai 2020, CBP AS mengeluarkan WRO ke atas Top Glove berhubung dakwaan amalan buruh paksa dalam proses pengeluaran, termasuk ikatan hutang terhadap pekerja, kerja lebih masa, keadaan persekitaran yang tidak kondusif, masalah kemudahan tempat kerja dan penginapan serta penahanan dokumen.

“Bagaimanapun, sekatan WRO telah ditarik balik pada 10 September tahun lepas selepas CBP berpuas hati dengan bukti dan tindakan yang diambil oleh Top Glove, termasuk pembayaran pampasan kepada pekerja dan menambah baik kemudahan tempat kerja dan penginapan untuk pekerja,” kata Miti.

Pada 2020, CBP juga telah menyekat produk syarikat perladangan kelapa sawit terbesar dunia Malaysia Sime Darby Plantation, mengikut keluasan tanah, dengan alasan terdapat kemungkinan penggunaan buruh paksa. Ia membolehkan pihak berkuasa menahan barangan di pelabuhan.

Isu perlindungan AS akan jadi faktor

Ramasamy meminta kedua-dua menteri tersebut menjelaskan sama ada isu perlindungan AS kemungkinan akan menjadi faktor

"Satu lagi sebab mengapa AS menghalang produk Malaysia, kemungkinan terdapat kaitan dengan AS yang berusaha untuk melindungi industri domestiknya daripada persaingan tidak adil dengan produk dari Malaysia yang dikeluarkan secara murah berdasarkan tenaga buruh yang lemah,” katanya.