Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Duta Indonesia puji keputusan benarkan pekerja tanpa dokumen buat tuntutan

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memuji keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan pekerja asing tanpa dokumen untuk membuat tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menyifatkannya sebagai perkembangan besar ke arah menamatkan buruh paksa di negara ini, Hermono berkata pihak kedutaan akan memfailkan tuntutan gaji tidak dibayar di JTK bagi pihak beratus pekerja asing tanpa dokumen dari Indonesia.

Bercakap dengan Malaysiakini, Hermono berkata sehingga kini kedutaan gagal dalam tuntutan gaji tidak dibayar untuk pekerja kategori itu di JTK.

Dia berkata ini kerana sudah menjadi amalan biasa untuk hakim meminta pihak membuat tuntutan untuk mengemukakan bukti kontrak pekerjaan dan pas kerja yang sah.

Jika pekerja tidak dapat menunjukkannya, kata Hermono, kes mereka akan ditolak dan mereka terpaksa pulang ke Indonesia tanpa mendapat gaji hasil bertahun bekerja di Malaysia.

Menurutnya, pihak majikan yang sepatutnya mendapatkan pas kerja sah memandangkan pekerja tiada cara untuk memohon pas itu sendiri di Jabatan Imigresen.

Katanya lagi, pekerja yang membuat aduan berkenaan pekerjaan terhukum sementara majikan yang mengambil warga asing tanpa dokumen sebagai pekerja jarang dipertanggungjawabkan.

"Kebanyakan kes yang dikendalikan di Malyais adalah pekerja asing tanpa dokumen yang tidak dibayar gaji.

"Berdasarkan pengalaman kami, amat sukar untuk membuatkan majikan menjelaskan gaji kepada mereka ini.

"Ini kerana setakat ini, Mahkamah Buruh menafikan hak pekerja tanpa dokumen untuk membawa aduan berkenaan pekerjaan," katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi kekal

Pada bulan lalu, Hermono memberitahu Malaysiakini bahawa kedutaan menerima 392 pembantu rumah di pusat lindungan mereka di seluruh negara sejak 2021, dengan kebanyakannya tidak dibayar gaji lebih enam tahun.

Pada 12 Mei lalu, hakim Mahkamah Rayuan Ravinthran N Paramaguru mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa status imigresen pekerja tidak patut menjadi faktor menghalang Mahkamah Buruh mendengar kes mereka.

Paramaguru dipetik sebagai berkata, di tidak melihat ada peruntukan dalam Akta Pekerja 1955 mahupun Akta Pekerjaan (Sekatan) 1968 yang menghalang pekerja membawa kes mereka ke Mahkamah Buruh.

Dalam pada itu, Hermono berkata dia akan terus bersuara terhadap amalan tidak adil yang dipaksakan kepada pekerja yang rentan yang sudah sekian lama dinafikan hak.

Menerusi pertemuannya dengan ramai pembantu rumah, Hermono berkata majikan kepada pekerja tanpa dokumen sering menafikan pernah mengambil mereka bekerja kerana tiada dokumen rasmi yang dapat membuktikan perkara itu.

"Saya merasakan ramai majikan memang sengaja mengambil pekerja tanpa dokumen untuk bekerja dengan mereka agar bebas daripada tanggungjawab terhadap kebajikan dan keperluan membayar gaji mengikut masa," katanya.

Katanya lagi, ramai warga Indonesia yang cenderung masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah untuk bekerja berbanding negara lain, di mana majikan diwajibkan memiliki dokumen yang sewajarnya.

Sehinggalah pada masa ini, katanya lagi, kebanyakan majikan di Malaysia "tidak dapat disentuh" undang-undang kerana mengambil warga asing tanpa dokumen bekerja dengan mereka.

[Baca berita asal]