Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia, AS tubuh jawatankuasa kerja banteras buruh paksa

Malaysia dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) bakal menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha membanteras isu buruh paksa menerusi penubuhan satu jawatankuasa kerja.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam kenyataan berkata jawatankuasa tersebut, yang akan bertemu setiap tiga bulan, memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa termasuk merangka polisi yang menyokong inisiatif menghapuskan kegiatan itu.

Dia berkata CBP AS juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung Mei ini dan menganjurkan bengkel bersama pemain industri.

"Bengkel ini akan memberikan penerangan mengenai perkara berkaitan dengan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan oleh pemain industri supaya produk mereka tidak disekat untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat (AS)," katanya yang kini dalam lawatan kerja ke Washington.

Saravanan berkata lawatan itu telah membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa, selain menjadi platfom bagi AS untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Menurut Saravanan, dia juga bertemu Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan CBP AS AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (Ilab) Jabatan Buruh AS (DOL AS) Thea Lee.

Pada pertemuan itu dia telah berkongsi inisiatif kementeriannya dalam menangani hampir keseluruhan indikator buruh paksa yang disenaraikan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), seperti penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa berlebihan dan penahanan gaji.

Mengenai kerjasama dengan DOL AS pula, Saravanan memaklumkan jabatan itu bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.

DOL AS turut menyarankan agar Malaysia memberi pendedahan kepada pekerja tentang kepentingan berkesatuan dan ini selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di parlimen Julai depan, katanya.

-Bernama