Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Jangan gatal tangan tanam ganja

Sebarang usaha untuk membangunkan atau memajukan ganja ataupun sebarang jenis dadah untuk tujuan perubatan tidak seharusnya melibatkan kelulusan untuk menanam untuk tujuan perniagaan dan keuntungan.

Ia dibimbangi boleh terdedah dengan risiko penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Banyak lagi sayur-sayuran, tumbuhan dan pokok yang boleh menjana keuntungan serta yang tiada risiko penyalahgunaan untuk ditanam. Umum telah pun ketahui kesan buruk ganja ataupun dadah kepada masyarakat.Buat sekian lama, banyak kehidupan yang rosak akibat daripada penyalahgunaan ganja ataupun dadah. 

Ia turut memberi kesan secara tidak langsung kepada orang sekeliling yang tidak bersalah. 

Kesan buruk yang dibawa oleh ganja ataupun dadah ini sudah pun diketahui oleh semua pihak. 

Penyalahgunaan ganja ataupun sebarang jenis dadah boleh memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan dan kestabilan mental dan emosi pada mereka yang ketagih dengannya.

Mereka yang sudah ketagih ini akhirnya memberi kemudaratan kepada orang lain yang tidak bersalah. 

Ia boleh mengundang kemalangan jalan raya serta pelbagai jenis kegiatan jenayah. 

Isu yang melibatkan ganja ataupun dadah perlu dipandang dengan serius dari sudut implikasi penyalahgunaannya dan bukannya dipandang dari sudut penjanaan keuntungan semata-mata. 

Kita tidak perlu terikut-ikut dengan jejak langkah yang diambil oleh negara lain yang mengaut keutungan besar dari penanaman ganja dan sebarang jenis dadah tanpa memahami dengan lebih mendalam situasi atau keadaan yang berlaku dalam negara berkenaan. 

Undang-undang sedia ada bagi mengawal selia pengunaan ganja ataupun dadah untuk perubatan dilihat sudah pun mencukupi dalam negara kita. 

Apa kata akta?

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada bulan November 2021 dalam Dewan Rakyat, akta sedia ada tidak menghalang penggunaan ganja atau kanabis bagi tujuan perubatan, jika mematuhi peraturan.

Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam jawatan bertulis bagi menjawab soalan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai isu pengunaan ganja untuk tujuan perubatan. 

Menurut Khairy Jamaluddin lagi, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.Bagaimanapun, menurut beliau produk yang mengandungi ganja perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bawah Akta Jualan Dadah. 

Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya. 

Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan yang berdaftar bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar. 

Jika terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan ganja untuk tujuan perubatan, mengambil kira kualiti, keselamatan dan keberkesanan, proses permohonan mendaftar produk boleh dikemukakan kepada DCA. 

Produk itu akan dinilai dan didaftarkan bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia. 

Segala kesimpulannya, tiada isu untuk mengunakan ganja sebagai bahan perubatan dalam negara sekiranya kita mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Merujuk kepada Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952, kanabis atau ganja bermaksud:

“Mana-mana bahagian tumbuhan genus kanabis (ganja) yang didapati mengandungi resin tanpa mengira kuantitinya atau apa-apa nama yang diberikan terhadap tumbuhan berkenaan.”

Nama jalanan kanabis di kalangan penagih dadah adalah ganja, grass, sayur, tarek daun, indian hemp, barang, weed, joints, sticks, hashish, dope, pot dan weed

Tumbuhan ini mengandungi lebih daripada 460 jenis bahan kimia yang antaranya cannabinoid. 

Teliti dulu

Di Malaysia, kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun (Akta Racun 1952). 

Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk yang tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952. 

Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis atau ganja, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan. 

Perlu diketahui, di Malaysia, penanaman ganja dilarang sama sekali. Larangan ini diperuntukkan bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Secara ringkasnya, seksyen 6B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan ganja tidak boleh ditanam di Malaysia. 

Bagaimanapun, Seksyen 6B (2) Akta yang sama memperuntukkan, menteri kesihatan boleh memberikan kebenaran kepada mana-mana pegawai awam untuk menanam ganja bagi tujuan sama ada penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan– tertakluk kepada terma dan syarat. 

Sehubungan itu, permohonan orang awam dan syarikat untuk menanam ganja tidak akan dipertimbangkan. 

Bagi kesalahan berkaitan penanaman ganja, hukuman yang diperuntukkan bawah seksyen 6B (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang daripada enam sebatan.

Persoalannya, adakah kita ingin membenarkan ganja ditanam atau diusaha sebagai industri bagi menjana pendapatan rakyat dan negara? 

Kita harus meneliti kesan perkara ini dengan teliti sebelum sebarang kata putus diambil.

Kita perlu memandang serius kesan pengunaan ganja pada diri individu terutamanya jika disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungajwab. 

Bibimbangi penyalahgunaan ganja berlaku di kalangan masyarakat sekiranya kita membenarkan ia diusahakan dan ditanam dalam negara kita secara berleluasa kelak. 

Persoalan juga harus ditanya, adakah kita memiliki proses pemantauan dan penguatkuasaan yang benar-benar kuat bagi membendung penyalahgunaan ganja?Pemantauan dan penguatkuasaan

Sekiranya tidak, adalah baik kita kekalkan status quo ataupun keadaan seperti sekarang. 

Peruntukan undang-undang mencukupi bagi mengawal selia pengunaan ganja. 

Kita tidak boleh membandingkan negara kita dengan negara lain yang telah mengambil langkah berlainan.

Faktor-faktor dalam negara dan keadaan masyarakat mereka amat berlainan dengan kita.

Sekiranya kita masih ingin mengubah kedudukan sedia ada, keutamaan harus diberikan kepada aspek pemantauan, penguatkuasaan yang benar-benar berkesan serta perlindungan kepada orang ramai daripada risiko penyalahgunaan.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.