Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Umno, PAS perlu libatkan Bersatu kalau nak kalahkan PH di Selangor'

Hasrat Umno untuk menewaskan PH di Selangor pada PRU akan datang perlu melibatkan Perikatan Nasional (PN) secara kolektif dan bukan hanya PAS, kata Setiausaha Bersatu Selangor Azman Yaakob.

Azman menyifatkan kenyataan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar bahawa PH boleh dijatuhkan di negeri itu jika mereka tidak bertembung dengan PAS.

"Kenyataan Noh Omar adalah jelas bahawa dia nak kekalkan Muafakat Nasional (MN) tanpa melibatkan Bersatu.

"Kita boleh faham sentimen dimainkan olehnya untuk membina hubungan dengan PAS. Jika menang Umno akan mengetuai gerakan bentuk kerajaan negeri dan memonopoli kerajaan negeri.

"Tetapi untuk tewaskan PH, kalau betul ada niat dan harapan untuk tolak PH, maka ia mesti melibatkan tiga parti (iaitu Bersatu)," katanya kepada Malaysiakini.

Dia mengulas kenyataan Noh Omar pada 7 Mei lalu yang turut menjelaskan pembahagian kerusi antara Umno dan PAS telah dibincang secara dasar sebelum tertubuhnya PN.

Noh juga berkata pihaknya berharap tindakan itu akan mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti masing-masing dengan sasaran memenangi lebih 30 daripada 56 kerusi DUN di Selangor pada PRU15.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi pula dilaporkan berkata pimpinan parti akan membuat keputusan jika mereka sedia untuk bertembung dengan Bersatu di negeri itu.

Dalam pada itu, Azman yang juga pengarah jentera pilihanraya Bersatu Selangor berkata pandangan Yunus tersebut hanyalan bersifat peribadi.

"Pandangan PAS Selangor bukan pandangan pimpinan pusat. Saya cuma minta mereka akur kepada arahan pucuk pimpinan PAS dan presiden (Abdul Hadi awang)," katanya sambil menambah PN Selangor sedia bertembung dengan BN dan PH pada PRU akan datang.