Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dari parlimen, Kian Ming akhirnya pulang ke menara gading

Kembali ke dunia akademik dan menulis satu dua buku.

Itu antara perkara yang akan dilakukan ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming selepas memutuskan untuk berehat daripada politik dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dalam temu bual bersama Malaysiakini pada Rabu, Ong juga berkata dia telah mengambil masa hampir dua tahun untuk memutuskan perkara tersebut.

"Banyak perkara yang saya ingin tulis. 

“Mungkin tulis satu atau dua buah buku, lakukan penyelidikan mengenai perkara-perkara yang saya tiada masa untuk lakukan sebelum ini sewaktu saya menjadi ahli parlimen sepenuh masa," katanya ketika ditemui di Kajang.

Pada 9 Mei lepas, Ong mengumumkan tidak menawarkan diri sebagai calon untuk pilihan raya umum akan datang.

Ong mengakui keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada MAC lalu–apabila dia gagal terpilih–menjadi antara faktor dia mengambil langkah itu tetapi menjelaskannya sebagai bukan sebab utama.

Sementara itu, Ong berkata dia juga mungkin akan kembali sebagai pensyarah di mana-mana pusat pengajian sama ada dalam atau luar negara.

"Bidang yang ketiga ialah mengajar pelajar-pelajar muda yang mahu belajar daripada pengalaman saya, dalam cara yang amat praktikal, mengenai perkara yang saya tahu seperti dasar-dasar awam dan sains politik.

"Pada masa sama, saya mahu berkongsi pengalaman saya sebagai bekas timbalan menteri dan individu yang tahu serba sedikit mengenai perniagaan berdasarkan latar belakang saya sebagai seorang perunding, dengan pelajar-pelajar yang lebih matang, pelajar-pelajar yang melanjutkan pendidikan mereka dalam cara yang amat praktikal," katanya.

Bagimanapun, Ong berkata itu semua perancangannya tetapi persoalannya universiti mana yang paling sesuai untuk bekerja dengannya sebagai anggota fakulti masih menjadi tanda tanya.

Ong berkata ia masih terlalu awal untuknya memutuskan perkara terbabit kerana pilihan raya masih belum jelas bila.

“Namun jika ada universiti yang sesuai dengan profil saya tentunya saya akan menghubungi mereka untuk mengetahui jika ada peluang untuk saya melakukan tiga perkara ini - menulis, membuat kajian, dan mengajar," katanya.

Kerjaya Ong–pemegang PhD sains politik Universiti Duke, Amerika Syarikat–bermula sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Dasar Sains, Universiti UCSI dan menjadi pakar rujuk bagi “strategi lautan biru”.

Selain itu dia pernah menjadi penganalisis dasar Sosioekonomi Pembangunan dan Penyelidikan (Sedar) dan Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap).

Ong juga bekas perunding bersekutu untuk Boston Consulting Group–salah satu daripada tiga syarikat perunding pentadbiran global paling besar di dunia.

Bagaimanapun buat masa ini, Ong berkata dia akan terus berkhidmat kepada rakyat di parlimen Bangi sehingga habis penggal dan sebaik sahaja pembubaran parlimen dibuat oleh kerajaan.

Ong dalam sidang media bersama Setiausaha Agung DAP Anthony Loke

Katanya, khidmatnya masih diperlukan pengundi.

Bagaimanapun, tanpa hadir ke parlimen, dia tetap akan bersuara berkaitan isu-isu yang menjadi kepakarannya selepas ini.

"Saya akan terus memainkan peranan sehingga PRU akan datang dan saya akan terus bersuara berhubung perkara yang berkaitan ekonomi, dasar negara. “Seperti semalam saya mengemukakan lapan cadangan bagi menambah baik aliran trafik di pondok tol antaranya ialah analisis data trafik di lorong MyRFID, Smart Tag dan Touch ‘n Go," katanya.

Tambah Ong, terlalu banyak idea dari sudut dasar yang ingin disumbangkannya baik ketika masih menjadi wakil rakyat atau pun selepas ini.

Bantu PKS

Selain itu, jelas Ong, selain minat berkaitan dunia akademik dia juga mahu memainkan peranan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

"Kerana saya melihat pelbagai cabaran yang mereka hadapi sewaktu kawalan pergerakan keraa pandemik. 

“Saya rasa mereka memerlukan bantuan untuk menjadikan perniagaan mereka lebih strategik dalam dunia pascapandemik dan juga membantu mereka memahami dan beradaptasi dengan dasar-dasar kerajaan

"Saya tak berkesempatan untuk lakukan semua ini sebelum 2018 tetapi dengan pengalaman selama 20 bulan dalam kerajaan saya rasa saya lebih memahami bagaimana kerajaan berfungsi berbanding sebelum ini.

“Dan saya yakin saya boleh menjadi aset kepada PKS yang mahu memanfaatkan pengalaman saya," tambahnya.

Pengusaha kuih tradisional di Kelantan, gambar hiasan

Ong, yang merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pertama kali menang kerusi Serdang pada 2013 dengan menewaskan veteran MCA dan bekas ahli parlimen Yap Pian Hon dengan mengundi 79,238 undi (67.98 peratus).

Pada 2018, Ong mempertahankan parlimen Bangi yang lebih luas (dinamakan semula selepas persempadanan semula 2018) dengan menewaskan Liew Yuen Keong daripada MCA, Shafie Ngah daripada PAS dan Dennis Wan daripada PRM selepas meraih 102,557 undi (65.6 peratus).

DAP pertama kali menang kerusi Serdang dalam tsunami pilihan raya umum 2008 selepas Teo Nie Ching menewaskan Hoh Hee Lee daripada MCA apabila menang 64.23 peratus (47,444) undi.