Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semangat aktivis mahu selamatkan harimau kekal membara

Semua aktivis alam sekitar yang menyertai kempen A Walk For Tigers terus bersemangat di sebalik peratusan rendah sokongan yang diterima mereka daripada orang ramai.

Perjalanan sejauh 240km mereka itu sepatutnya tamat esok tetapi kini dijangka akan memakan masa sehari lagi. Ia bermula di Sungai Relau, Taman Negara dan akan berakhir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Asalnya kami patut tamatkan perjalanan ini pada Jumaat tetapi kerana kaki saya, kami terpaksa menjadualkan semula semuanya, dan kecederaan kaki saya menyebabkan kami tertinggal hampir 20km (daripada jadual asal).

“Kami terpaksa menjajarkan semula peta… kami telah menangguhkan ketibaan kami untuk hari Sabtu,” kata pelakon Sharifah Sofia yang menjadi salah seorang anggota kumpulan tersebut.

Hari ini, kumpulan itu akan menyusur laluan sejauh 24km dari Kampung Rasia ke Bukit Tinggi. Sharifah Sofia akan memfailkan saman undang-undang untuk perlindungan harimau Malaya selepas tamat perjalanan berkenaan.

Dia menghadapi cabaran seperti cuaca, tidak dapat mengumpul bekalan di bandar-bandar kecil terbiar semasa cuti raya, dan kecederaan lutut yang memaksa dia mengubah laluannya.

Sharifah Sofia kelihatan tetap bersemangat apabila bercakap dengan Malaysiakini melalui telefon semalam.

Katanya, dia sedang merawat kecederaan lututnya - yang mengalami radang tendon - menggunakan ais batu.

Aktres yang terkenal dengan wataknya dalam filem seperti Pisau Cukur juga terharu apabila mendapati ramai orang yang mengikuti perjalanannya di media sosial.

Kumpulan A Walk For Tigers, bagaimanapun, kini kekal dengan empat orang sahaja.