Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS jawab Ahmad: Umno patut dibubar dulu...

  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Dewan Ulama PAS.

Gesaan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan supaya PAS dibubarkan disambut dengan pulangan paku buah keras oleh Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.

Timbalan menteri besar Kelantan itu hari ini menegaskan bahawa jika ada parti yang wajar dibubarkan, ia sepatutnya adalah Umno bukannya PAS.

"Bagi saya Umno patut bubar sebab baru yang mula (perjuangkan) Islam. Kami dah lama perjuangkan Islam, dari awal lagi," tegasnya ringkas pada sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Ahmad yang dilaporkan media semalam.

Terdahulu Ahmad mencadangkan PAS dibubarkan kerana menurutnya Umno sudah cukup membawa wadah perjuangan Islam.

Jelasnya, Umno telah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendukung cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama berbanding mendukung perjuangan kebangsaan Melayu.

Sementara itu ditanya mengenai pendirian PAS berhubung kerjasama dengan Umno, Mohd Amar menjelaskan, rakan-rakan dalam Umno diharap dapat berfikir semula demi kepentingan ummah dan negara.

Jelasnya, kecelaruan dalam isu Muafakat Nasional (MN) dilihat berlaku kerana wujud kepentingan peribadi yang membabitkan pihak tertentu dalam Umno.

"Politik peribadi di kalangan sesetengah pemimpin Umno, ini mereka perlu selesaikan.

"Umno kena fikir semula, kita tak pernah tutup pintu (kerjasama)," ujarnya.

Bagaimaapun Mohd Amar tidak menjelaskan dengan lebih lanjut pihak yang dimaksudkannya itu.

Tambah anggota dewan undangan negeri (DUN) Panchor itu, PAS sentiasa terbuka dalam kerjasama dengan mana-mana parti yang serius memperjuangkan kepentingan ummah.

"Presiden PAS sudah sebut kita nak penyatuan ummah bukan hanya dengan PAS dan Umno, bahkan dengan mana-mana parti atau kumpulan yang serius membela dan menyatukan ummah kita terbuka.

"Saya pernah buat kenyataan dengan Amanah pun kita boleh bincang dengan syarat dia tinggalkan PH (Pakatan Harapan) dan DAP. Itu sikap kita.

"Khemah kita lebih besar daripada khemah PH lagi," kata Mohd Amar.

Tak relevan - Dewan Ulama

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya berkata cadangan supaya PAS dibubarkan adalah tidak releven.

Katanya, perlembagaan PAS dan Umno terlalu jauh untuk dibandingkan.

"PAS bukanlah semata-mata sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan Islam dari aspek Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan sahaja, tetapi PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara," katanya.