ULASAN | Kita semakin feudal, berkelas-kelas
ULASAN | Ungkapan “enggang sama enggang, pipit sama pipit" adalah lambang pengkastaan dan pengkelasan masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.
Dalam budaya Barat pun ada. Dikaitkan dengan burung juga. Disebut "birds of a feather flock together". Diterjemahkan ke bahasa Melayu, burung yang sama bulunya berhimpun bersama.
Atau ada orang kata, pipit dan helang terbang tak sama tinggi.
Pengkastaan dan pengkelasan masyarakat Melayu-Islam ini adalah saki-baki amalan peninggalan zaman lampau apabila kerajaan dan empayar Melayu Nusantara mengamalkan Hinduisme.
Kedatangan Islam sepatutnya menghapuskan pengkastaan dan menjadikan manusia sama rata.
Ciri-ciri pengkastaan ini menjadi bertambah buruk apabila ia menular ke dalam arena politik dan menjangkiti pelbagai institusi pemerintahan selepas merdeka.
Penghakiman yang berbeza di antara rakyat totok yang mencuri sebuku roti atau beberapa ringgit duit tabung masjid dengan golongan atasan yang menyamun berbilion ringgit adalah manifestasi pengkastaan ini.
Akibatnya masyarakat kita menjadi semakin feudal dan berkelas-kelas.
Semakin kerap golongan atasan ini mempamerkan kuasa politik, pentadbiran dan duit sehingga tidak peduli lagi kepada undang-undang negara, kewajaran dan pandangan orang ramai.
Perhambaan bentuk baru
Mereka seolah-olah berkata: "Aku peduli apa? Aku ada kuasa, duit aku banyak untuk beli polis, pegawai kerajaan malah menteri, aku ada rumah di luar negara kalau aku hendak lari, aku bos aku boleh buat sesuka hati."
Sistem pendidikan, kemasyarakatan dan pengajaran agama Islam tidak membantu membebaskan semua orang daripada gejala dan cengkaman feudalisme serta pengkastaan ini.
Islam yang sepatutnya menghapuskan kasta dan menjadikan manusia sama rata turut dikastakan oleh pihak yang berkuasa ke atasnya sehingga muncul golongan agamawan yang pekak, bisu, buta dan tuli terhadap kemungkaran orang berkuasa.
Kasta adalah interpretasi penjajah Eropah terhadap konsep "Varna" dalam agama Hindu. Masyarakat beragama Hindu atau Arya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan peringkat.
Kelas tertinggi adalah Brahmin iaitu golongan agama dan ilmuan manakala kelas terendah adalah Sudra. Ada kelas pahlawan, cendekiawan dan buruh.
Seseorang boleh mengubah kedudukan Varna sekiranya dia mendapat pendidikan Veda dan Kita-kitab Hindu secara sempurna.
Dalam masyarakat Melayu-Islam Malaysia - khususnya selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada 1970 - muncul golongan feudal baru yang berpaksikan kuasa ekonomi dan politik.
Di pihak yang lain pula, orang Melayu sendiri - secara sedar atau tidak - telah memperhambakan diri kepada golongan feudal ini, atau menjadi mangsa perhambaan bentuk baru (neo-slavery).
Zaman dulu hanya supir dan budak pejabat Melayu dan India saja memanggil majikan Eropah mereka "boss". Hari ini wakil rakyat dan pencuri pun dipanggil bos.
Pada awal merdeka, kita panggil wakil rakyat, YB; dan pegawai daerah sebagai "encik". Sekarang penyamun, penyangak dan orang salah pun dipanggil bos.
Manusia yang selesa dengan jenama Melayu-Islam semakin tidak kenal diri sendiri bahawa daripada bangsanya dia diajar budi, dan melalui agamanya dia ditanamkan iman.
Kalau hukum adat dan agama ini diamalkan maka jadilah orang Melayu-Islam itu orang yang budiman - berbudi dan beriman.
Tetapi hari ini berapa ramaikah orang Melayu-Islam yang faham dan peduli tentang budi dan Iman? Tentang menjadi insan budiman. Tempua yang menganyam sarang yang indah dipandang rendah sedangkan enggang yang sekadar bersarang dalam pokok reput disanjung, dijunjung.
Hukum Tuhan mengatakan, hatta helang yang terbang tinggi itu pun terpaksa turun ke bumi juga untuk mencari makan dan kesudahannya reput menjadi tanah macam pipit juga.
A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan penasihat media perdana menteri. Artikel ini asalnya disiarkan di Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai