Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tunggakan gaji punca kalah bola? Tunggu surat saman - Sanusi

Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyangkal dakwaan bahawa tunggakan gaji terhadap pemain menjadi punca kekalahan pasukan itu dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau telah bertanyakan kepada pihak pengurusan KDA FC mengenai perkara itu, ternyata tiada tunggakan gaji terhadap pemain.

“Sekarang, mereka tengah sediakan notis saman kepada pihak yang tularkan pasal isu KDA FC tidak bayar gaji pemain. Jadi, tunggu surat saman dan selamat menjawab di mahkamah nanti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran dikongsi seorang individu yang memuat naik tangkap layar mesej beberapa individu lain di Facebook mengenai situasi pemain yang didakwa sudah empat bulan tidak menerima gaji daripada KDA FC.

Menteri Besar Kedah itu berkata isu tunggakan gaji dibuat bagi ‘membalun’ kerajaan negeri sedangkan pasukan bola sepak itu adalah milik swasta.

“Mereka ini tak ada isu lain hendak kenakan kerajaan negeri, jadi main isu tunggakan gaji. Tunggu sahajalah surat saman sampai nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui timbul perasaan kurang berpuas hati dengan prestasi KDA FC yang mencatat tiga kekalahan berturut-turut, namun beliau percaya pihak pengurusan dan kejurulatihan mampu memperbaiki prestasi pasukan.

“Nanti akan ada jendela perpindahan hujung bulan ini, jadi tengok pemain mana yang perlu dibawa masuk dan mana yang perlu keluar. Mungkin akan ada juga rundingan dengan pemain yang cedera tidak boleh main sampai tujuh bulan, tapi itu akan dibuat oleh pasukan.

“Saya serah kepada pihak pengurusan KDA FC, saya tidak mahu kacau mereka. Saya macam peminat lain yang sentiasa mahu lihat pasukan menang, jadi saya harap mereka dapat atasi sebarang masalah dan memperbaiki prestasi bagi mempamerkan keputusan yang baik,” katanya.

- Bernama