Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes polis iringi anak MP: Hasil siasatan sehari, dua lagi - Hamzah

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata hasil siasatan dalaman terhadap polis pengiring yang terlibat dalam klip video yang mengiringi anak kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Hamzah, anggota polis yang terlibat akan diambil tindakan sekiranya didapati melakukan kesalahan.

“Sebenarnya kita tak akan membenarkan sesiapa yang tidak ada dalam senarai itu mendapat facilities (kemudahan) yang sebegitu rupa, ianya perlu mendapat persetujuan daripada ketua polis negara sendiri.

“Jadi kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota, kita akan ambil tindakan.

“Waktu ini, kita telahpun jalankan siasatan dalaman dan kita akan umumkan dalam sehari, dua kesalahan yang telah mereka lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) polis pengiring selepas klip video yang dirakamkan oleh Mohamed Khairul Anwar, anak kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez menjadi tular.

“SOP sudah jelas sebenarnya.. tak ada SOP baru. Jelas dan kita pun dah jawab dalam parlimen berkenaan isu ni sebelum-sebelum ini juga.

“Jadi tak timbul masalah ni. Ini adalah masalah individu yang melakukan kesalahan menggunakan sesuatu yang tidak patut digunakan oleh orang-orang yang tertentu,” katanya.

Khairul Anwar pada 6 Mei lalu memuat naik sebuah klip video ke Instagram yang memaparkan dua anggota polis trafik mengiringinya di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

Ditanya mengenai sama ada akan terdapat sebarang tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan khidmat anggota pengiring, Hamzah berkata sesiapa yang melanggar apa saja undang-undang dalam negara akan diambil tindakan

“Orang yang menerima (anggota pengiring) ni juga kalau ada melakukan mana-mana kesalahan, melanggar apa saja undang-undang yang ada dalam negara, kita akan ambil tindakan.

“Ini semua kita akan lakukan siasatan sebelum kita dapat kepastian. Pertama anggota yang melakukan kesalahan dan kedua mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.

Pada 10 Mei, pihak polis berkata akan merakamkan kenyataan daripada Khairul Anwar berhubung klip video yang memaparkan dirinya memandu sambil diiringi oleh anggota trafik.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya telah menghubungi individu itu, Mohamed Khairul Anwar dan dia berjanji untuk membantu siasatan.