Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Usah biarkan Bersatu jadi penghalang MN, kata Khairuddin

Anggota Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kewujudan Muafakat Nasional (MN) tidak sepatutnya digugat dengan kehadiran Bersatu "yang kecil bilangannya."

Pada masa sama, dia meminta PAS mengakui bahawa sebelum ini Umno ada membuat permintaan bagi merundingkan pembahagian kerusi namun ia diabaikan.

Khairuddin yang meninggalkan PAS dipercayai kerana tidak bersetuju dengan pendirian parti itu berhubung MN mendakwa, gabungan dalam badan itu adalah harapan rakyat Malaysia dan menyatukan 4 juta orang dalam kedua-dua parti.

Kata Khairuddin, pertembungan Umno-PAS sebelum ini mengorbankan hubungan sesama orag Melayu dan Islam selama lebih 40 tahun.

"Tidak sewajarnya perpaduan dua parti ini (Umno dan PAS) menjadi goyah dengan kehadiran Bersatu yang kecil bilangannya," kata bekas menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Bekas pemimpin ulama PAS itu memang dilihat lebih cenderung mempertahankan MN berbanding pemimpin tertinggi parti yang lebih mesra kepada Bersatu.

Untuk rekod PAS memeterai piagam MN dengan Umno ketika kedua-dua parti terbabit menjadi pembangkang, namun menyertai Perikatan Nasional - yang ditunjangi Bersatu - selepas mereka menjadi kerajaan dengan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) di luar proses pilihan raya.

Perselisihan dalaman itu menyaksikan Khairuddin - yang sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa Pusat PAS - meninggalkan parti itu.

Namun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan pemecatan berkenaan berpunca daripada isu MN dan PN.

Mahu ‘badan’ tolak ‘kepala’

Kata Khairuddin PAS perlu mengakui bahawa parti itu enggan melayan dan mengabaikan permohonan Umno dalam usaha merundingan pembahagian kerusi melalui MN.

Tambahnya, sikap diambil PAS itu adalah satu kesilapan dan ia perlu diperbetulkan.

"MN ada jalannya tetapi syaratnya hendaklah menjadi keputusan bersama dan rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti.

"Mesyuarat induk MN wajar dihidupkan semula. Pasukan perunding kerusi tidak wajar dihentikan sekerat jalan.

"PAS perlu memperakui bahawa Umno beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi, tetapi PAS yang tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut. Kesilapan ini perlu dibetulkan," katanya.

Baru-baru ini isu hubungan kedua-dua parti itu terus tegang selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hal itu kerana, katanya, Umno telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN namun tidak disepakati.

Gambar fail

Takiyuddin pula dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh PAS dan Umno itu adalah formula terbaik untuk penyatuan rakyat di negara ini namun menegaskan ia mestilah tidak terhad kepada parti tertentu saja.

PAS, kata Takiyuddin, mahu MN disertai oleh mana-mana parti politik, NGO atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Kata Khairuddin MN perlu dibina semula tetapi mestilah turut melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, ibarat hanya diinginkan badan tanpa kepala.

"Inilah kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini. Ada pihak yang mahukan 'badan' saja tanpa kepala," tegas bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu.

Dia juga berpendapat satu lagi syarat penting dalam perundingan Umno-PAS untuk MN ialah setiap parti menahan diri daripada mencampuri urusan parti lain.

"Biarkan masing-masing menguruskan parti mereka sendiri. Jangan diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan parti yang menjadi rakan kerjasama sehingga akhirnya terburai ikatan kerjasama," katanya.