Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Norlela serah nama lima doktor pembuli kepada KKM

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin telah menyerahkan nama lima doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang didakwa sebagai pembuli kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya telah menghantar nama lima doktor itu dan jabatan mereka bertugas, yang didakwa membuli di HPP untuk diperiksa oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan beliau telah menjawabnya (berhubung doktor-doktor tersebut)," katanya yang dihubungi di George Town hari ini.

Dr Norlela berkata bagaimanapun lima doktor itu tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP baru-baru ini kerana kes tersebut masih dalam siasatan.

"Nama (yang dikemukakan) bukan mengenai kematian itu kerana kes masih dalam siasatan. Cuma saya nak maklumkan bahawa saya juga telah mengemukakan lima nama sejak saya membaca exco kesihatan negeri lain juga mengemukakan nama kepada Menteri Kesihatan,” katanya.

Pada 17 April lepas, doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran, di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.

Pada 6 Mei lepas, Khairy turut dilaporkan berkata KKM akan menubuhkan ‘task force’ bebas atau pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih itu.

- Bernama