Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 9,000 bekas pesakit Covid-19 terima rawatan Long Covid

Sehingga April, seramai 9230 pesakit telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi Long Covid, yang merupakan gejala yang dialami selepas seseorang pesakit pulih daripada jangkitan Covid-19.

Daripada jumlah itu seramai 2798 telah dirawat melalui rawatan pesakit dalam dan 6432 menjalani rawatan pesakit luar di fasiliti kementerian Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 30 hingga 40 peratus pesakit kembali bekerja tiga bulan selepas dijangkiti Covid-19, manakala 60 hingga 70 peratus kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas jangkitan.

Sementara itu, dia berkata sebanyak 65.1 daripada pesakit Covid-19 dalam kategori 4 dan 5 mengalami gejala Long Covid, di mana 61.2 peratus daripadanya mengalami lebih daripada dua gejala.

"Antara gejala Long Covid, yang kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas kefungsian serta aktivitu harian individu yang terkesan adalah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot,kesukaran tidur nyenyak, lemah anggota badan, masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak, dan lesi kulit,” jelasnya.

Khairy berkata tanpa rawatan khusus, keadaan ini boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup pesakit Covid-19, yang boleh menyebabkan implikasi buruk.

“Tanpa rawatan khusus dan berstruktur, keadaan ini boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long Covid.

"Keadaan ini juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja kepada individu tersebut, malah keluarga masyarakat serta ekonomi negara," katanya.

Khairy berkata sekiranya pesakit mengalami simptom Long Covid yang serius sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk kembali bekerja, mereka boleh mendapatkan rawatan pemulihan di fasiliti rawatan terpilih.