Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Iklan didakwa singgung institusi diraja, tentera Thailand boikot Lazada

GLOBAL | Tentera Diraja Thailand melarang unitnya memesan produk melalui platform dalam talian Lazada selain turut menyekat penyedia perkhidmatan itu menghantar produk yang dipesan kepada pihak tentera, menurut Agensi Berita Thailand (TNA).

Timbalan jurucakap tentera, Kol Sirichan Ngathong, berkata langkah itu diambil selepas Lazada didakwa mengeluarkan iklan yang menyinggung institusi (diraja) dan turut memberi kesan kepada rakyat Thailand.

Dia berkata tindakan itu bagi melindungi institusi diraja dan menolak perbuatan tidak wajar yang cuba memecahbelahkan masyarakat Thailand.

“Boikot itu berkuat kuasa serta-merta pada Isnin,” kata Sirichan.

Menurut laporan media, rakyat yang setia kepada raja mengadu tentang video TikTok yang mempromosikan jualan Lazada pada 5 Mei.

Lazada yang berpangkalan di Singapura adalah satu daripada dalam talian terbesar di Asia Tenggara.

-Bernama