Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tahanan di Johor meninggal dunia akibat Covid-19, kata polis

Pihak polis memaklumkan punca kematian seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap balai polis Seri Alam, Johor pada Ahad lalu adalah disebabkan jangkitan Covid-19.

Pengarah Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Azri Ahmad berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru mendapati tiada sebarang kecederaan yang dikesan pada lelaki berusia 48 tahun itu.

"Ujian pengesanan Covid-19 telah dibuat ke atas si mati dan berkeputusan positif Covid-19.

"Punca kematian adalah disebabkan Covid-19 pneumonia (radang pada paru-paru). Kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Individu berkenaan ditahan di lokap tersebut buat sementara waktu, sebelum dipindahkan ke Penjara Kluang untuk menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan berkaitan dadah.

Lelaki itu disabitkan dengan kesalahan tersebut pada 27 April lalu.

Dia ditemui berada "dalam keadaan lemah" pada pukul 8.35 pagi pada Ahad lalu oleh anggota polis yang kemudiannya menghubungi pihak hospital.

Seorang kakitangan perubatan mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia pada 9.35 pagi.

Individu berkenaan merupakan tahanan ke-16 yang meninggal dunia dalam tahanan tahun ini.

Dia juga merupakan tahanan kedua meninggal dunia akibat Covid-19.

Pada 12 April lalu, polis memaklumkan seorang tahanan ditemui mati di Lokap Berpusat Indera Mahkota pada 9 April akibat "jangkitan paru-paru kronik dengan tuberkulosis pulmonari dan Covid-19.

Tahanan tersebut menjalani hukuman penjara selama lapan bulan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di Penjara Penor di Kuantan dan sepatutnya menghadiri sebutan semula kesnya di mahkamah pada 14 April.