Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

RUU anti-lompat parti: PSC cuma ada dua mesyuarat lagi

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti hanya mempunyai dua lagi mesyuarat sebelum membuat syor berhubung draf undang-undang itu, kata ahli jawatankuasanya, Wilfred Madius Tangau.

Oleh itu katanya, dia memilih untuk tidak terlalu merumitkan perkara itu dan hanya menumpukan pada pembentangan draf undang-undang asas anti-lompat parti, serta tidak terbeban dengan perkara lain seperti pembiayaan pilihan raya, pilihan raya semula dan hal lain yang berkaitan.

“Bahagian paling sukar yang kita lalui ialah pembahagian sama ada mereka ini akan menjadi propengundi atau proparti politik.

“Ada isu lain yang perlu kita pertimbangkan, perkara seperti penyingkiran daripada parti dan sama ada ini merupakan lompat (parti), sebagai contoh. Ini adalah cabaran yang sedang dilalui oleh jawatankuasa tersebut.

“Ada pandangan yang mengatakan perlu ada pengecualian (untuk penyingkiran) tetapi jika anda layak (dalam undang-undang) ia akan menjadi besar dan lebih besar.

"Kita harus menjadikannya mudah dan semudah mungkin, seperti bagaimana Singapura dan India melakukannya," katanya pada persidangan mengenai perkara itu oleh Majlis Peguam hari ini.

Madius berkata jawatankuasa itu juga sedang bergelut dengan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, mengenai kebebasan berpersatuan yang telah digunakan untuk mengisytiharkan undang-undang negeri yang menghalang lompat parti sebagai melanggar perlembagaan.

Katanya, isu berkenaan mesti diselesaikan dalam dua mesyuarat terakhirnya pada 12 dan 23 Mei.

Dia berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli panel, profesor sains politik Wong Chin Huat dan peguam Amer Hamzah supaya jawatankuasa itu juga perlu melihat punca lompat parti.

Wong berkata ini termasuk mencadangkan perundangan mengenai pembiayaan pilihan raya dan sekatan ke atas saiz anggota kabinet dan ahli yang menerima dana dari negeri melalui jawatan dalam agensi negeri, kerana ini telah dikenal pasti antara punca untuk lompat parti.

“Kita perlu ada pakej perjanjian. Saya fikir Madius dan rakan harus mempertimbangkan untuk menambah pengesyoran, walaupun mereka tidak memperincikannya.

"Mereka harus memasukkan dalam laporan terdapat pandangan bahawa pakej perjanjian diperlukan mengenai perkara ini, jadi sama ada jawatankuasa ini atau jawatankuasa lain boleh ditubuhkan untuk meneruskan agenda ini," kata Wong.

[Baca berita penuh]