Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP hormat keputusan Ong Kian Ming tak tanding PRU15

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming (gambar atas) atas sumbangannya dan menghormati hasratnya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Loke berkata Ong membuat keputusan untuk tidak bertanding sejak sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada Mac.

"Dia memberitahu saya dua bulan lalu. Selepas saya mengambil alih jawatan setiausaha agung, dia membincangkan keputusan itu dengan saya. Saya cuba memujuknya untuk kekal (bertanding)," kata Loke pada sidang media di Seremban.

"Meskipun tidak dipilih sebagai ahli jawatankuasa pusat DAP, ia tidak akan menjejaskan peluangnya untuk diletakkan sebagai calon," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ong, 46, berkata dia tidak bersara daripada politik tetapi hanya berehat.

"Walaupun keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukan sebab utama keputusan saya," kata Ong.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke

Mengulas lanjut, Loke berkata Ong berikrar untuk terus membantu DAP dalam PRU akan datang dengan kepakarannya dalam analisis kawasan dan analisis dasar.

"Dia adalah ahli parlimen yang sangat kuat. Dia telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pelbagai bidang. Jadi, saya cuba pujuk dia untuk kekal. Tetapi dia berkata dia sudah membuat keputusan. Dia dan isterinya berharap untuk berehat daripada politik," kata Loke.

Ong juga memaklumkan dia mengumumkan keputusannya awal hari ini supaya DAP mempunyai banyak masa untuk membuat pertimbangan mengenai calon baru kerusi Bangi.

"Dia membuat syor mengenai penggantinya. Kami akan membuat keputusan selepas mendengar cadangan akar umbi parti dan jawatankuasa negeri selain membuat penilaian ke atas kawasan itu," kata Loke.

Ong, ahli parlimen dua penggal dipilih sebagai ahli parlimen Serdang pada 2013. Kawasan pilihan rayanya telah dinamakan semula sebagai Bangi berikutan persempadanan semula.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri semasa era Pakatan Harapan.