Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Apandi: Dr Mahathir tiada hak persoal penyelesaian kes saman

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali berkata Dr Mahathir Mohamad tidak berhak mempersoalkan penyelesaian saman RM2.23 juta yang dibuat antara dirinya dengan kerajaan berhubung kes pemecatannya ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun Dr Mahathir dinamakan sebagai defenden dalam samannya, Apandi berkata bekas perdana menteri itu hanya mahukan perhatian selepas menimbulkan semula perkara itu, sedangkan ia sudah diselesaikan tiga minggu lalu.

“Bukan dia (Dr Mahathir) berhak setuju (atau) tak setuju (berhubung langkah penyelesaian yang diambil) sebab ini saman terhadap kerajaan dan kerajaan sudah setuju (selesai di luar mahkamah).

“Yang mewakili kerajaan adalah peguam negara, kalau peguam negara kata macam itu, kena akur, (Dr Mahathir) tiada hak nak persoalkan.

“Penyelesaian itu sudah lama, sudah tiga minggu lebih, kenapa baru timbul? (Seperti) seek attention,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Apandi berkata adalah perkara biasa untuk terma penyelesaian dirahsiakan antara pihak-pihak yang bertelagah.

“Terma-terma itu adalah rahsia. Ini adalah perkara biasa, bukan di luar kebiasaan, benda-benda yang berlaku setiap hari,” jelasnya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir menegaskan dia membuat keputusan yang betul dalam menamatkan perkhidmatan Apandi sebagai peguam negara pada Jun 2018 ketika siasatan 1MDB sedang dijalankan dan ini dilakukan mengikut prosedur.

Dia juga menuntut syarat penyelesaian antara kerajaan dan Apandi didedahkan.

Pada 13 Okt 2020, Apandi memfailkan saman terhadap Dr Mahathir dan kerajaan berhubung dakwaan penamatannya secara tidak sah sebagai peguam negara.

Melalui tuntutan mahkamah itu, Apandi menuntut, antara lain, pengisytiharan bahawa Dr Mahathir telah menyalahgunakan kedudukannya dan ini telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Apandi memohon ganti rugi khas RM2,23 juta sebagai ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan pembelaan yang difailkan pada November 2020, Mahathir dan kerajaan menegaskan bahawa penamatan kontrak itu adalah sah dan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes itu tanpa sebarang pengakuan liabiliti, dan syarat penyelesaian itu tidak dapat didedahkan secara terbuka.