Doktor pelatih mangsa buli diminta buat aduan - Exco
Doktor pelatih (HO) di Melaka yang berdepan situasi buli sehingga menjatuhkan maruah mereka diminta membuat aduan agar tindakan lanjut boleh diambil segera, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata doktor pelatih yang menjadi mangsa buli boleh mengajukan aduan itu kepadanya menerusi platform Facebook atau bersemuka kerana perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku dalam bidang profesional dan kritikal itu.
"Saya sendiri akan siasat aduan berkenaan dan ambil tindakan jika ia benar-benar berlaku kerana saya tidak akan biarkan mana-mana doktor pelatih di Melaka dibuli dengan teruk sehingga menjatuhkan maruah mereka sepanjang saya menggalas jawatan exco ini.
Amaran keras juga diberikan kepada pegawai perubatan atau pakar yang sesuka hati membuli doktor pelatih tanpa belas kasihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata doktor pelatih seharusnya dilatih dengan baik dan bukannya dibuli sesuka hati kerana tempoh “housemanship” selama dua tahun yang perlu dilalui golongan itu adalah waktu yang paling penting dan amat kritikal.
Katanya dalam tempoh itu, doktor pelatih berkenaan perlu mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya di sekolah perubatan pada dunia pekerjaan sebenar dan terpaksa bekerja dalam keadaan yang tertekan serta waktu bekerja yang panjang.
Muhamad Akmal berkata pengalaman yang dilalui doktor pelatih sepanjang tempoh 'housemanship' itu memberi kesan jangka panjang kepada kerjaya doktor pelatih berkenaan selain menjadikan mereka seorang doktor yang selamat untuk pesakit mereka.
"Saya juga pernah menjadi HO selama dua tahun di Hospital Ampang dan merasai jerit perih untuk belajar dan menimba pengalaman menjadi seorang doktor.
Alhamdulillah dalam tempoh itu tidak pernah 'senior', pegawai perubatan atau pakar saya membuli sehingga menjatuhkan maruah saya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai