Tiada keperluan desak bubar Parlimen - Hadi Awang
Tiada keperluan mendesak untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan seperti dituntuk oleh segelintir pihak, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya, katanya, PAS berpendirian adalah lebih baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang turut dianggotai oleh parti itu diberi peluang melaksanakan tugas mereka sehingga berakhirnya penggal semasa.
“Kita bersetuju sekiranya PRU15 ditangguhkan dan diadakan sehingga habis penggal.
"Lebih baik kerajaan diberi peluang melaksanakan tugas dalam tempoh secukupnya,
katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang, hari ini.
Perhimpunan Agung Umno 2021 telah meluluskan dua usul supaya PRU15 disegerakan serta menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum.
Hadi juga mengulangi pendirian parti itu bahawa tiga negeri yang ditadbir oleh PAS - Kelantan, Terengganu dan Kedah - tidak akan mengadakan pilhan raya negeri sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan dalam tempoh terdekat.
"Kita tidak akan berganjak dengan keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri bawah pemerintahan PAS hanya akan dibubarkan hingga berakhirnya penggal.
“Yang semasa ini kita bersedialah pilihan raya bila-bila masa, walau pun kita dah buat kenyataan tiga kerajaan negeri supaya habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, politik ini bersama dengan wabak yang belum lagi selesai," katanya.
Mac lalu, PAS dilapor memutuskan bahawa DUN di tiga negeri dikuasainya, hanya akan dibubarkan hingga habis penggal pada tahun depan.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dipetik berkata, keputusan itu adalah pendirian muktamad bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Bagaimanapun, Hadi berkata, PAS tetap bersiap sedia menghadapi PRU15, sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub membubarkan Parlimen.
“Kita dah gerak semua jentera-jentera di seluruh negeri, seluruh negara. Kita gerak cawangan-cawangan kita dan tambah cawangan-cawangan, tambah ahli-ahli.
“Kita kaji melalui post mortem tiga pilihan raya negeri yang telah diadakan di Sabah, Melaka dan Johor Ini termasuk menggerakkan jentera dan menambah cawangan serta ahli di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, katanya, PAS kekal dengan agenda perpaduan ummah melalui kerjasama dengan Bersatu dan Umno, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
"Kita akan melihat perkembangan kerjasama ini. Namun hingga kini, PAS terus membawa agenda perpaduan ummah, iaitu Islam dan umat manusia," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai