Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib: Takkan ECRL gila - harga tambang lambung tinggi

Syarikat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak cukup “gila” untuk mengenakan harga tambang penumpang sehingga enam kali lebih mahal berbanding tiket penerbangan ke destinasi yang sama, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia menjawab soalan Ketua PKR Terengganu, Azan Ismail yang membangkitkan kebimbangan harga tambang ECRL mungkin mahal berikutan kos pembinaan yang tinggi dan dijangka terus meningkat berikutan nilai ringgit yang semakin lemah.

"Siapa yang buat pengiraan untuk dia? Formula siapa yang kamu pakai?

"Kononnya harga tambang keretapi ECRL akan enam kali ganda lebih tinggi berbanding tambang pesawat?

"Takkan syarikat ECRL gila? Marah seluruh pantai timur Malaysia sekiranya harga tambang tinggi melambung seperti itu!

"Tidak. Kerajaan dan ECRL tak gila," kata Najib pada hantaran Facebook hari ini.

Walaupun kos pembinaan ECRL mungkin mahal, Najib berkata harga tiket akan berpatutan kerana ECRL tidak bergantung kepada tambang tiket penumpang sebagai satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Sebahagian besar sumber pendapatan dan trafik ECRL adalah daripada pengangkutan kargo, iaitu pengangkutan dua hala dari pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang, jelasnya.

Satu lagi sumber pendapatan untuk ECRL ialah projek pembangunan berorientasikan pengangkutan di sepanjang landasan kereta api ECRL, tambahnya.

Awal hari ini, Azan (gambar, bawah) berkata dia mengalu-alukan prospek ECRL menyediakan perjalanan yang lebih baik ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia, tetapi menggesa kerajaan memastikan harga tiketnya berpatutan.

Najib menempelak Pakatan Harapan, berkata mereka akhirnya mengakui projek ECRL itu bagus dan boleh menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas semasa perayaan besar di negara ini.

Bekas menteri kewangan itu juga menyalahkan kelewatan dalam projek ECRL disebabkan usaha Pakatan Harapan untuk menurunkan kos pembinaan dengan mengurangkan bilangan stesen dan jarak sambungan rel.

Ini menyebabkan tarikh pelancaran operasi ECRL ditarik balik dari 2024 seperti yang dirancang oleh bekas kerajaan BN di bawah pentadbiran Najib kepada Disember 2026, kata ahli parlimen Pekan itu.

"Oleh sebab PH buat kacau semasa mereka memerintah dan projek dihentikan, ditangguh dan diperlambatkan, ECRL tidak akan beroperasi pada tahun 2024 seperti rancangan kerajaan BN dulu.

"Ditangguh ke Disember 2026 pula. Maka Rakyat pun perlu bertahan kesesakan trafik setiap kali masa perayaan untuk lebih dua tahun lagi.

"Pembangunan ekonomi negara dan pantai timur juga tergendala selama dua tahun.

"Syabas, PH," sindir Najib.