Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amah dakwa didera, bekas bos jawab 'hantu rasuk'

Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pembantu rumah warga Indonesia tidak mendapat bayaran gaji, diserang dan dibuang kerja.

Ningrat (bukan nama sebenar), pernah bekerja di Kuwait, Oman dan Jordan selama lebih sedekad, menyifatkan pengalaman pahitnya di Malaysia sebagai sejarah paling buruk hidupnya.

Bagaimanapun, bekas majikannya mendakwa dia bimbang keselamatan keluarganya selepas mengambil wanita berusia 47 tahun itu bekerja di rumahnya.

Harlem Shah, yang, menurut halaman LinkedInnya, mempunyai gelaran "Prof Dato Sri Dr" mendakwa Ningrat berkelakuan seolah-olah dia "dirasuk hantu" enam bulan selepas dia bekerja.

"Sejak saat saya mengambilnya, dia mula menunjukkan tanda-tanda 'kegilaan' dan saya mempunyai video untuk menunjukkan bahawa wanita ini tidak waras," katanya kepada Malaysiakini.

Harlem, 46, yang menyifatkan dirinya sebagai "pakar kesakitan (pain)" dan mengendalikan pusat melegakan kesakitan di Petaling Jaya, merujuk kepada rakaman CCTV yang diserahkan kepada ibu pejabat polis Sentul untuk memudahkan siasatan.

Ketika dihubungi, pegawai penyiasat polis mengesahkan menerima rakaman itu pada 26 April tetapi tidak dapat memulihkan rakaman tambahan kerana CCTV telah ditanggalkan pada hari yang sama dari rumah Harlem di Bukit Tunku untuk dipasang di rumah barunya di Country Heights.

Penyiasat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera.

Menurut penyiasat lagi, Harlem mendakwa dia berhasrat menghantar Ningrat pulang ke Indonesia dan menyerahkannya tanpa cedera kepada agensi pekerjaan, dan bukan orang yang pada awalnya menempatkan pembantu rumah tersebut bersamanya.

Sementara itu, agensi pekerjaan yang menempatkan Ningrat dengan Harlem berkata ia tidak mendapat sebarang khabar berita daripadanya sejak meninggalkannya bawah jagaan Harlem pada Disember 2017.

“Kami tidak pernah menerima sebarang aduan. Jika dia benar-benar mengalami masalah mental, dia boleh dihantar pulang. Tiada masalah,” kata seorang jurucakap.

'Panggil bomoh, halau hantu'

Harlem telah menyiarkan klip Ningrat berdurasi 20 saat di TikTok dengan bunyi latar belakang, yang digambarkannya dalam kapsyen sebagai "Amityville Horror – Scary Halloween Sound Effects".

Perkataan "Ghost@Bukit Tunku" terpapar sepanjang video itu yang antara lain menunjukkan Ningrat berjalan terhoyong-hayang di ruang tamu sebelum jatuh ke lantai.

Ketika ditunjukkan klip itu, Ningrat mendakwa siaran berkenaan yang bertarikh 7 Okt 2021, mengandungi rakaman kejadian selepas dia ditumbuk di bahagian tepi kepalanya dan dipukul dengan selipar.

Sebelum kejadian didakwa dipukul itu, Ningrat berkata dia telah dikurung di dalam biliknya sepanjang hari tanpa makanan.

“Saya keliru dan dalam kesakitan. Saya berasa tertekan dan takut kerana cara majikan melayan saya.

"Itu sudah lama dahulu. Saya tidak ingat mengapa dia pukul saya, tetapi dia memukul saya dengan apa sahaja yang dapat dicapai tangannya," dakwanya.

Harlem, ketika ditanya mengenai klip itu, berkata: "Kami sangka dia dirasuk hantu dan itulah kali pertama dia berkelakuan seperti itu."

Ini nampaknya bercanggah dengan dakwaan Harlem sebelum ini bahawa Ningrat pertama kali menunjukkan tanda-tanda kelakuan aneh enam bulan selepas dia bekerja atau lebih tepat pada pertengahan 2018.

“Saya menghubungi seorang bomoh yang mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya ada lima hantu (merasuk) dalam badannya.

"Dia berjaya mengeluarkan tiga atau empat hantu,” katanya sambil menambah seorang paderi Kristian turut dipanggil untuk menangani isu itu tetapi tidak berjaya.

Harlem, yang mengesahkan Ningrat mula bekerja untuknya pada Disember 2017 di bawah kontrak dua tahun, berkata dia tidak dapat menghantarnya pulang kerana sekatan perjalanan berkaitan dengan Covid-19.

“Dua tahun lepas dia bersama saya, dia tidak bekerja dan saya menjaganya. Saya mengupah perkhidmatan pembersihan untuk membersihkan rumah saya manakala dia hanya merayau-rayau di sekitar rumah,” tambahnya.

Jurucakap kedutaan Indonesia memberitahu Malaysiakini bahawa Harlem pada mulanya menafikan tahu-menahu mengenai Ningrat selepas dia ditemui ditinggalkan terabai.

Jurucakap itu menjelaskan kerana Ningrat tidak mempunyai apa-apa barang bersamanya, mereka telah mengesan agensi pengambilan Ningrat di Jakarta untuk berhubung dengan agensi penempatan di Malaysia yang membawa mereka kepada identiti majikannya di sini.

Pertikaian mengenai gaji

Walaupun Harlem mendakwa telah membayar semua gaji Ningrat melalui pemindahan wang Western Union kepada ibu saudaranya di Indonesia dan kadang-kadang suaminya, Ningrat mendakwa bahawa hanya sejumlah RM1,800 telah dibayar sepanjang empat tahun dia bekerja untuknya.

Harlem juga mendakwa bahawa semua slip pemindahan wang Western Union telah diserahkan kepada Ningrat.

Agensi pekerjaan itu menjelaskan syarat kontrak memerlukan Harlem membayar gaji bulanan RM1,100 termasuk kerja lebih masa.

Pada 21 April, warga prihatin yang lalu lalang telah memaklumkan kepada polis tentang kehadiran Ningrat, yang dilihat menangis di tepi jalan.

Ningrat (gambar, bawah) ditemui berkaki ayam dan terdapat kesan lebam di badan.

Ningrat mendakwa majikannya mengheretnya keluar dari rumah dan menolak masuk ke dalam kereta sebelum memandu dan meninggalkannya.

Harlem menafikan dakwaan penderaan itu, mendakwa bahawa lebam Ningrat di mukanya itu cuma "solekan" dan berkata dia tidak tahu bagaimana Ningrat cedera lutut dan sikunya.

Melalui temu bual telefon dengan Malaysiakini, Ningrat mendakwa rutin hariannya di kediaman bekas majikannya bermula pada 5.30 pagi dan dia tidur antara tengah malam dan 1 pagi.

"Tetapi jika ada pengunjung yang datang, saya akan tidur pada pukul 3.30 pagi dan bangun semula pada pukul 5.30 pagi," katanya.

Mengenai makanannya, Ningrat mendakwa dia cuma menjamah lebihan juadah sama ada sekali atau dua kali sehari bergantung kepada sama ada terdapat makanan di dalam peti sejuk dan kadangkala dia tidak makan langsung.

"Mereka selalu memarahi saya bahawa saya jorok (berbau busuk), bodoh (bodoh) dan memanggil saya dengan nama haiwan," katanya.

Dia juga mendakwa tidak pernah dibenarkan menunaikan solat dan menyesal kerana tidak dapat menunaikan ibadah puasa Ramadhan.

Harlem menafikan dakwaan itu dan telah membuat laporan balas.

[Baca berita asal]