Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kematian doktor pelatih: KM gesa buat inkuiri khas

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas berhubung kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang.

Chow berkata, KKM dan pihak terlibat juga perlu segera memberi penjelasan berkenaan insiden tersebut.

"Penubuhan inkuri penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut dan mengelakkan kisah sedih serupa berulang lagi terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih.

"KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan. Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan secara menyeluruh, katanya dalam kenyataan.

Dia berkata, sistem sedia ada juga perlu dikaji dan dirombak jika perlu, terutama membabitkan masa bekerja.

Chow Kon Yeow

Terdahulu seorang doktor pelatih dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan apartmennya.

Kematian pegawai perubatan (houseman) itu hanya tiga minggu selepas dia dihantar ke tersebut, telah mencetuskan bantahan daripada rakan sekerjanya, yang menggesa pihak berkuasa untuk tidak menanggapi perkara ini sebagai isu "biasa".

Sebelum ini, dilaporkan seorang lagi doktor pelatih yang meletak jawatan di hospital sama telah meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang berkata pihaknya masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan berhubung kes itu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin berkata laporan akhir akan dikemukakan kepada polis bagi membantu siasatan.