Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Debat Saifuddin, Rafizi 11 Mei ini

Dua calon timbalan presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli akan berdebat pada 11 Mei ini.

Menurut laporan Sinar Harian, program selama 90 minit dengan tajuk "Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar" akan disiarkan secara langsung di semua platform organisasi berita itu.

Ketua Pengarang Kumpulan Rozaid Ahmad berkata, program itu tepat pada masanya dengan pemilihan PKR kali ini dilihat sebagai petunjuk kepada barisan kepimpinan baru yang bakal menggantikan presidennya, Anwar Ibrahim.

Program itu akan mejadi pentas menguji kewibawaan Saifuddin dan Rafizi dalam berhujah mengenai isu semasa serta soal kepimpinan dan masa depan PKR, kata Rozaid dalam kenyataan.

Calon ketua pemuda debat 10 Mei

Sementara itu, dua bekas aktivis mahasiswa yang bersaing bagi jawatan ketua pemuda PKR, Fahmi Zainol dan Adam Adli Abdul Halim akan berdebat sehari sebelumnya, iaitu pada 10 Mei.

Debat tersebut akan disiarkan di Astro Awani.

Dalam pemilihan kali ini, Anwar mengekalkan jawatan sebagai presiden bagi penggal 2022-2025 tanpa dicabar.

Lebih 1.2 juta ahli parti layak mengundi secara dalam talian atau fizikal pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 22 Mei ini.

Kongres nasional pula akan diadakan pada 10 hingga 12 Jun.