MP alu-alukan cadangan adakan hubungan dengan k'jaan buangan Myanmar
Beberapa ahli parlimen pembangkang telah menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan Menteri Luar Saifuddin Abdullah agar Asean mengadakan hubungan tidak rasmi dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dipilih oleh rakyat Myanmar sebelum rampasan kuasa tentera.
Ahli Parlimen Bayan Baru PKR Sim Tze Tzin (gambar, judul) berkata cadangan Saifuddin itu adalah satu percubaan untuk memecahkan kebuntuan, kerana tiada kemajuan sepanjang tahun lalu dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Asean (5PC).
“Mereka (Myanmar) enggan beri kerjasama dan tidak ada kemajuan. Sebab itu saya rasa menteri luar cuba mencari jalan penyelesaian baru terhadap kebuntuan ini, menerobos supaya ada kemajuan.
“Ini kerana sebagai Asean, kita perlu dihormati di dunia atas dasar kedaulatan undang-undang, institusi demokrasi dan juga hak asasi manusia.
“Kemudian, barulah pelabur asing akan mempunyai keyakinan terhadap Asean secara keseluruhan, jadi kita harus mempertahankan nilai-nilai tertentu.
“Saya fikir pendirian kerajaan Malaysia betul. Dari segi kenyataan menteri luar, kita harus menyokong pendirian Malaysia menentang Myanmar,” kata Sim kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Pada 1 Mei, Saifuddin berkata Malaysia akan mencadangkan supaya Asean mengadakan hubungan tidak rasmi dengan kerajaan buangan NUG, kerana tiada kemajuan dicapai pada tahun lalu dalam pelaksanaan 5PC untuk mencari penyelesaian kebuntuan politik di negara ini.
"Kita tidak mencadangkan Asean untuk mengiktiraf kerajaan lain, hubungan tidak rasmi itu mungkin boleh difikirkan terutamanya bagaimana kita menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang masih berada dalam negara mereka," kata menteri luar tersebut.
Junta tentera Myanmar dalam maklum balasnya atas cadangan ini telah mengecam Malaysia, menyifatkan kenyataan Saifuddin sebagai "tidak bertanggungjawab dan melulu."
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata cadangan untuk melibatkan diri dengan NUG "sangat dialu-alukan" kerana ia adalah kerajaan Myanmar yang dipilih secara demokrasi dan menerima sokongan daripada majoriti rakyat negara itu.
“Kami hanya boleh berharap negara Asean lain mengikut pendirian Malaysia, dan mengabaikan apa yang dikatakan oleh junta tentera mengenai perkara itu, yang tidak sah serta bukan setakat tidak bertanggungjawab dan melulu sahaja, tetapi juga jenayah.
“Junta yang telah melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi, telah menyebabkan Myanmar menjadi huru-hara dan melakukan semua jenis kekejaman terhadap penduduk negara itu untuk mengukuhkan kekuasaannya sama sekali tidak mempunyai hak moral untuk membuat tuduhan sedemikian,” katanya pada satu hantaran di Twitter.
Charles, yang juga pengerusi Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR), menyifatkan tindak balas junta sebagai "melampau" dan "sangat menyakitkan hati."
Maklum balas sedemikian hanya menunjukkan bahawa mereka gementar dengan pengasingan antarabangsa yang semakin meningkat, katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai