Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Radzi janji selesai masalah cikgu kontrak

Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengambil maklum nasib sekumpulan guru yang akan tamat kontrak pada bulan depan.

"Sebenarnya perkara ini sememangnya dalam perhatian saya. Dalam hal ini, saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera.

"Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuatkuasa.

"Pengumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai," kata Radzi pada hantaran di Facebook pagi ini.

Radzi mengulas beberapa komen yang ditinggalkan di laman Facebooknya berhubung isu itu.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mendedahkan terdapat kira-kira 2,506 guru yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada bulan depan.

Guru-guru kontrak ini semuanya sedang mengikuti pengajian diploma lepasan ijazah dan telah menandatangani perjanjian kerja kontrak dua tahun mereka pada 10 Jun 2020.

Guru-guru ini mengkhususkan dalam pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Jasmani.

Teo berkata guru-guru ini tidak pasti jika kerajaan akan melanjutkan kontrak mereka dan jika tidak, mereka mungkin tidak menerima gaji mulai 11 Jun dan seterusnya.