Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Exco P Pinang: Keadaan kerja doktor pelatih 'tak berperikemanusiaan'

Doktor pelatih di Malaysia telah lama tertakluk kepada keadaan kerja "tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan," kata Exco Kerajaan Pulau Pinang Norlela Ariffin.

Ini selepas seorang doktor pelatih (houseman) yang bertugas di Hospital Besar Pulau Pinang semalam terjatuh dan meninggal dunia dari bangunan pejabat.

“Saya telah membangkitkan masa bekerja yang tidak logik dan tidak berperikemanusiaan yang dihadapi oleh houseman berdasarkan pengalaman keluarga saya sendiri di Malaysia, yang mana pekerja lain dalam sektor lain tidak akan pernah melaluinya.

“Dia mengalami 27 kemalangan kerana (dia) terlalu letih dan Alhamdullilah terselamat.

“Kawannya meninggal dunia. Saya masih ingat doktor sebelum ini bunuh diri,” kata Norlela (gambar, judul) pada hantaran di Facebook hari ini.

Dia berkata menantu perempuannya kini lebih gembira dengan "keadaan kerja yang berperikemanusiaan" sejak dia mula bekerja di sebuah hospital di UK kira-kira tiga tahun lalu.

Kementerian Kesihatan dan ahli politik tidak mengambil serius isu ini, katanya.

'Budaya profesion perubatan'

Sebaliknya, maklum balas yang biasanya dia dapat daripada mereka adalah bahawa keadaan kerja sebegini merupakan kelaziman yang perlu dilalui oleh semua doktor.

"Ia seperti budaya yang diterima dalam profesion perubatan," keluhnya.

Dilaporkan semalam seorang doktor pelatih meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan pejabat di Georgetown, Pulau Pinang.

Kematian pegawai perubatan (houseman) itu, hanya tiga minggu selepas dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang, telah mencetuskan bantahan daripada rakan sekerjanya, yang menggesa pihak berkuasa untuk tidak menanggapi perkara ini sebagai isu "biasa".

Sebelum ini, dilaporkan seorang lagi doktor pelatih yang meletak jawatan di hospital sama telah meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.

Norlela berkata dia telah memaklumkan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (gambar, atas) dan pegawai lain tentang kejadian baru-baru ini kerana mereka "tidak cukup serius dalam mengambil isu ini".

"Jabatan Kesihatan Negeri kata masalah terlampau banyak kerja sebab tidak cukup kakitangan tetapi ramai graduan perubatan tak dapat atau tunggu lama untuk dapat kerja.

"Tak masuk akal KKM biar perkara ini berlarutan bila doktor perlu buat keputusan hidup mati semasa merawat pesakit dalam keadaan kerja macam ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy (gambar, bawah) dalam kenyataan berasingan hari ini, berkata kematian doktor muda itu telah menyerlahkan keadaan latihan yang "mengerikan" di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Polis mungkin melabelkan kematian akibat bunuh diri sebagai ‘kematian mengejut’, tetapi mesti ada penyiasatan tentang apa yang membawa kepada kematian itu.

“Ia tidak boleh dinafikan sebagai hanya kematian mengejut kerana terdapat dakwaan membuli dan mengganggu doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang.

"Jika cara dan keadaan latihan tidak ditangani, lebih banyak lagi insiden malang boleh dijangkakan," katanya.

Terdapat banyak cerita tentang betapa teruknya layanan terhadap doktor junior, katanya, membandingkannya dengan penderaan (ragging) yang biasanya berlaku di asrama pelajar sekolah.

Tidak hairanlah doktor ini pergi ke sektor swasta sebaik sahaja mereka menamatkan latihan di hospital kerajaan, katanya.

“Saya tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh pihak pentadbiran hospital awam mengenai buli dan tindakan mengaibkan doktor pelatih muda ini.

“Bagaimana dengan Kementerian Kesihatan? Adakah mereka terlalu sibuk dengan membendung pandemik Covid-19 sehingga segala-galanya telah dilupakan atau disapu di bawah permaidani (disorok),” soal Ramasamy.

[Baca berita asal]