Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Dari 'monopoli kebenaran' ke kebebasan maklumat

ULASAN l Generasi sezaman saya lahir dan membesar pada era maklumat menjadi milik pihak tertentu sahaja. Kerana ia dikawal, kami tiada akses maklumat seperti media digital dan media sosial sekarang.

Kami membesar bersama akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, selain radio dan TV kepunyaan kerajaan.

Setiap hari kami mendapat - atau disajikan - dengan maklumat sebelah pihak saja kerana dunia ketika itu amat tertutup. Berita yang digembar-gemburkan kepada kami ialah maklumat 'sahih' daripada kerajaan.

Kerajaan yang berkesan memang ialah kerajaan yang menguasai maklumat.

Kerajaan Perikatan dan BN selalu mengingatkan kami bahawa selain apa yang disuapkan oleh mereka, maklumat berkenaan adalah "tidak sahih" atau "berita palsu" yang berbahaya kepada bangsa dan negara.

Kami harus percaya bahawa berita daripada RTM adalah khabar sahih kerana orang kampung diyakinkan bahawa berita selain daripada itu adalah dakyah Parti Komunis Malaya (PKM) untuk merosakkan fikiran rakyat yang baru menikmati kemerdekaan.

Pada dekad 1960-an dan 1970-an, wayang pacak yang dibawa oleh van Jabatan Penerangan kerap masuk ke kampung kami. Kami seronok tengok filem koboi dan hindustan yang memaparkan heroin cun melecun.

Dengar omelan pegawai kerajaan

Pada masa itu belum ada TV3 dan Astro. Kami tidak kenal kecantikan Wan Zaleha Radzi dan Rohana Rozhan. Bagi kami bintang Hollywood dan Bollywood itulah yag paling cantik kerana di kampung kami majoriti orang perempuannya tidak cantik, tembam dan melekit.

Walaupun kami tidak faham bahasa asing, keseronokan yang dibawa oleh wayang pacak amat memberahikan. Ada masa van Milo juga ke kampung kami dengan menayangkan drama hitam putih daripada siri Potret Pekerti yang pernah ditayangkan di TV1.

Ada masanya kami menonton filem koboi kelas ketiga lakonan Ronald Reagan dan Jack Palance.

Yang kami tak seronok ialah ketika menonton setengah jam kemudian, wayang pacak dihentikan selama 30 minit untuk kami mendengar 'nasihat' dan penerangan pegawai kerajaan.

Lazimnya mamat itu akan bercakap loghat Kelantan kerana kami lebih mesra dengan 'bahasa puak kita' sahaja berbanding bahasa Melayu baku.

Ucapan demi ucapan sebagai selingan daripada wayang pacak itu tidak jauh bezanya dengan hari-hari yang lain. Mereka bersurah tentang menanam padi malinjau, rancangan pembangunan luar bandar dan perpaduan kaum.

Program Desa Usaha kerap diperkatakan supaya orang kampung faham tentang revolusi mental yang diperkenalkan Senu Abdul Rahman. Saya tidak pasti atuk dan pak cik saya faham atau tidak tentang revolusi mental itu.

Tapi seronok kami mendengar kerana wayang pacaklah satu-satunya hiburan yang masuk ke kampung kami ketika itu.

Orang kerajaan juga bersurah supaya petani, penoreh dan nelayan rajin bekerja kerana negara yang baru merdeka memerlukan rakyat yang rajin berusaha.

Otak diasuh media kerajaan

Kami juga diingatkan tentang niat komunis untuk merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak yang menjaga kedaulatan bangsa.

Mamat Jabatan Penerangan itu juga akan bersurah supaya rakyat menyokong kerajaan jika pilihan raya umum diadakan bagi mengelak Malaysia dikuasai komunis yang ketika itu mula melancarkan serangan gerila di Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos.

Dekad 1970-an adalah detik yang tegang di Asia Tenggara. Perang Dingin mengundang kuasa besar seperti AS, Soviet Union dan China menaja sekutu mereka di wilayah bergolak.

Kami mendapat maklumat daripada penceramah bahawa AS adalah baik kerana mahu mempertahan hak rakyat menerusi proses demokrasi.

Pada masa sama kami ditakutkan dengan kekejaman komunis. Soviet Union dan China adalah komunis yang jahat. Otak kami diasuh oleh media kerajaan bahawa perjuangan demokrasi ala barat yang dibawa oleh Umno mesti dipertahankan.

Maklumat dan propaganda media kerajaan adalah sahih kerana kami tiada peluang untuk melakukan semak dan imbang.

Wayang pacak bersama media lain mengambil kesempatan isu politik serantau untuk mempengaruhi pemikiran rakyat agar menyokong kerajaan BN yang kononnya mengutamakan kepentingan Melayu dan Islam.

Rakyat luar bandar diingatkan kesan buruk insiden 13 Mei 1969 yang dikaitkan dengan usaha PKM merampas kuasa 'kerajaan Islam' di negara ini. Kerananya kami jadi takut orang Cina merusuh lagi seperti di Kuala Lumpur, walhal di Kelantan pada dekad 1970-an kaum berkenaan hanya ada kira-kira 200,000 orang sahaja!

Kami dipaksa percaya kepada maklumat yang disalurkan oleh kerajaan BN kerana sumber maklumat kami hanya itulah saja. Tiada media sosial dan media digital seperti sekarang.

Terus-terang saya akui bahawa saya mulai percaya buku politik yang mula diterbitkan selepas 13 Mei 1969. Penulis buku politik ketika itu lebih fokus kepada pergolakan politik Melayu terutama di Pantai Timur yang membabitkan pertentangan di antara Umno dan PAS.

Anwar Ibrahim adalah mitos baru dalam buku politik dan dia dijangka menerajui kerajaan.

Buku politik ada tempat

Buku politik pula adalah lebih bebas maklumatnya berbanding akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikuasai Umno.

Ketika rusuhan politik anti-Kumpulan 20 berlaku di Kelantan pada 1977 untuk menjatuhkan regim PAS pimpinan Ishak Lotfi yang menjadi pengikut Asri Muda, banyak buku politik dihasilkan untuk mengulas pergolakan politik secara dalaman. Banyak maklumat baru yang tidak didedahkan media Umno mulai tersebar.

Buku politik Bulan Purnama Gerhana Di Kelantan karya Yahaya Ismail menjadi rujukan kerana dia secara berani mendedahkan peranan Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam politik PAS Kelantan.

Mereka berdua merupakan tokoh Umno yang banyak memainkan peranan merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 1978.

PAS hanya menang dua daripada 36 kerusi DUN kerana ramai ahli parti itu membelot disebabkan faktor kewangan. Ada juga pemimpin PAS dikaitkan dengan penerokaan hutan untuk menjual balak secara leluasa.

Pendedahan berani tersebut menjadikan buku politik mendapat tempat istimewa. Daulah terpendam yang dikuasai saluran propaganda Umno dicabar oleh buku politik. Yahaya - atau Pak Ya - antara penulis buku politik paling berbisa.

Dia merupakan seorang penulis yang tidak pernah berkompromi dengan pemimpin yang dikritiknya. Buku politik Yahya yang paling terkenal ialah Tuah Dan Sial Khairy Jamaluddin (2009), Anwar Ibrahim: Antara Nawaitu dan Pesta Boria (1993), dan Mengapa Mahathir Dicabar (1987).

Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini buku politik semakin kurang, Mohd Sayuti Omar (MSO) melahirkan buku Mengapa Anwar Belum Jadi PM? yang secara jujur memaparkan pergolakan yang berlaku dalam PKR dan Pakatan Harapan menyebabkan kerajaan itu tumbang selepas 22 bulan.

MSO juga menulis Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa (1998) yang menceritakan tragedi pemecatan Anwar daripada Umno dan kerajaan, selain Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti (1990) dan Inside Story Kejatuhan PAS Kedah (2014).

Subky Latif menulis buku Siapa Ganti Asri (1977) yang menamakan Anwar sebagai orang yang paling layak memimpin PAS. Ada juga buku Subky yang pernah diharamkan iaitu PAS Masuk Lubuk Merbau (1985). Sebagai ahli PAS kebanyakan buku Subky lebih condong kepada perjuangan parti berkenaan.

Syed Hussein Al-Attas atau nama mesranya Pak Habib pula menghasilkan Challengger: Siapa Lawan Siapa (1987). Buku berkenaan terkenal kerana disaman oleh Musa Hitam dan Syed Hussein diperintah mahkamah membayar ganti rugi RM100,000.

Buku politik dia yang pernah diharamkan ialah Talqin Untuk Umno (1988). Ahmad Lutfi Othman pula menulis buku seperti Anwar Lawan Ghaffar (1993), PAS Zaman Anwar: Memo Buat Bakal PM (1993), dan Mufti Lawan Mahathir (1997).

Hari ini buku politik semakin sepi kerana saingan media baru dan media digital. Blog dan portal berita bukan sahaja menjejaskan media tradional, malah menghakis kehadiran buku politik di pasaran.

Kesetiaan dan kesungguhan MSO melahirkan buku politik ketika dunia semakin terbuka adalah keberanian luar biasa. Rakyat perlukan kebebasan memilih dan menerima maklumat.

Era propaganda sudah berlalu kerana informasi bukan lagi milik daulah terpendam.


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan dan penulis sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.