Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Politik baru menjalin ukhuwah

ULASAN | Alhamdulillah. Semalam saya dan Pengerusi DAP Johor - saudara Liew Chin Tong pergi menziarahi Datuk Khairul Anwar Rahmat di rumah orang tuanya dekat Kampung Melayu Kluang.

Nama Khairul Anwar muncul semula akhir-akhir ini apabila Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melantik beliau serta tiga lagi peguam lain menjadi pemerhati bagi perbicaraan kes Bella.

Saya dan Chin Tong bukan baru sehari kenal Khairul Anwar. Sebenarnya kami sudah mula rapat semenjak dua kali insiden bazar Ramadhan dulu.

Kali pertama pada tahun 2014 - insiden 'Mana surat' . Selepas itu insiden 'Saya imam' pada tahun 2017.

Saya masih ingat, selepas insiden 'Saya imam', Khairul Anwar yang sewaktu itu merupakan ketua Pemuda Umno Kluang telah ambil langkah progresif, matang dan terbuka.

Beliau dengan berani telah mengajak kami edar bubur lambuk pula dekat bazar yang sama tempat kami dihalau. Kami edar bubur lambuk tu betul-betul sehari selepas insiden bazar berlaku. Betul-betul semasa line masih 'panas'.

Selepas itu, pada 2018, Khairul Anwar sekali lagi bersama-sama dengan pasukan kami turun menyantuni warga Kluang di bazar.

Waktu itu PH sudah menang pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri dan pusat.

Sedar tak sedar, sudah lapan tahun berlalu. Maknanya sudah lapan tahun juga kami menjalin ukhuwah dengan Khairul Anwar.

Jika saya tidak silap, selain dua tahun PKP, setiap tahun yang lain kami datang berziarah Khairul Anwar di Aidilfitri.

Meskipun berlainan latar politik, kami disatukan kerana kemanusiaan dan pembawaan yang sederhana serta santun.

Kesantunan telah membuatkan kami selesa walaupun berbeza. Kami boleh duduk sama.

Dalam banyak perkara, saya percaya pembawaan politik yang lebih centrist (tengah) dan sederhana akan mampu menyatukan rakyat pelbagai latar di Malaysia.

Pendekatan politik yang lebih sederhana tetapi utuh dengan nilai-nilai yang bersih akan memberikan harapan yang cerah untuk Malaysia dan bangsa Malaysia.

Inilah harapan kita... Inilah Impian Malaysia.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah bekas Adun Paloh merangkap naib pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.