Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Aliran trafik sesak dari Seremban ke Jelebu

Aliran trafik dari Seremban ke Jelebu bermula dari Jeram Toi sesak sepanjang 12 kilometer sejak tengah hari tadi susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Supt Shafiei Muhammad berkata bagaimanapun anggotanya telah diarahkan mengawal kesesakan di lampu isyarat di pekan Jelebu bagi melancarkan aliran kenderaan menuju ke Pantai Timur serta Karak dan Muadzam Shah, Pahang.

"Di Lebuhraya Utara Selatan pula, trafik perlahan bermula dari Nilai di Kilometer (KM) 285 hingga ke KM240 di Pedas Linggi iaitu laluan menghala ke selatan.

"Kesesakan disebabkan kenderaan rosak di KM247 dan KM253 namun tiada sebarang kemalangan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafiei sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing selain menggunakan laluan alternatif supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama pada 4.30 petang tadi mendapati aliran kenderaan mula perlahan di laluan untuk memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi Lebuhraya Utara Selatan.

- Bernama