Kemeriahan Aidilfitri kembali dirasai
Sambutan Hari Raya di seluruh negara hari ini kembali meriah dengan masjid dan surau dipenuhi jemaah yang hadir bersama keluarga masing-masing dengan mengenakan pakaian berwarna-warni bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri selepas dua tahun meraikannya secara sederhana.
Perayaan itu disambut hampir seperti normal dengan masyarakat mengambil peluang bertemu sanak saudara serta menjamu pelbagai juadah yang enak selepas pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
Sambutan Hari Raya kali ini disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.
Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan.
Turut hadir bersama kira-kira 7,000 jemaah memenuhi ruang solat masjid berkenaan adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri.
Di PUTRAJAYA, lebih 3,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, Istana Arau bersama rakyat jelata manakala di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff pula berangkat menunaikan solat sunat di Masjid Zahir.
Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan dan baginda sempat beramah mesra dengan hadirin sebelum berangkat menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan menyertai 1,500 jemaah menunaikan solat itu di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah.
Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat bersama ribuan jemaah di Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat sementara di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan solat sunat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Temerloh.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam menunaikan solat sunat bersama ribuan jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah manakala di PULAU PINANG, cuaca mendung dengan sesekali hujan tidak menghalang kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat bersama Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Masjid Negeri Pulau Pinang.
Di SELANGOR, lebih 15,000 jemaah tempatan dan luar negara hadir ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi menunaikan solat sunat seawal 7 pagi.
Di JOHOR, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor menunaikan solat sunat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Sultan Abu Bakar.
Sementara itu, pergerakan trafik mulai perlahan ke beberapa laluan utama lebuh raya pada tengah hari ini berikutan orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Menurut laman twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik dilaporkan perlahan ke arah utara sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Bukit Beruntung ke Bukit Tafar, Slim River ke Sungkai dan Terowong Menora ke Sungai Perak.
Trafik juga perlahan berikutan peningkatan kenderaan ke arah pantai timur sebelum masuk ke Plaza Tol Gombak dan 4.4 kilometer sebelum masuk Terowong Genting Sempah serta Hentian Gombak ke Genting Sempah.
Selain itu, di Tambak Johor, trafik perlahan arah utara di laluan dari Singapura ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai