Kisah Arulchelvan, 30 tahun sambut dan raikan Hari Buruh
Kecuali Amerika Syarikat pada September, Hari Buruh disambut pada 1 Mei di seluruh dunia.
Sambutan itu berasal daripada sambutan Hari Pekerja Sedunia yang digerakkan oleh kumpulan kiri dan kesatuan sekerja pada penghujung abad ke-19.
Pekerja Malaysia juga tidak terkecuali.
Tahun ini Hari Buruh jatuh dekat dengan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan di penghujung bulan puasa.
Justeru, sambutannya dilihat agak dingin.
Bagi seorang lelaki, S Arulchelvan–timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)–1 Mei sentiasa diraikannya untuk tempoh 30 tahun secara berterusan.
Katanya, tanggal itu sungguh bermakna buat dia dan PSM.
Malah, tambahnya, PSM ditubuhkan kerana apa yang berlaku pada Hari Buruh 1994 ketika dia–ketika bersama Pusat Pembangunan Masyarakat di Kajang–dan beberapa lagi aktivis kiri bergabung.
Kumpulan itu termasuk Alaigal (dipimpin Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan M Sarasvathy) dan Suara Warga Pertiwi (Dr Nasir Nashim dan V Selvam).
“Kami bekerjasama untuk menganjurkan perhimpunan Hari Buruh yang terbesar dalam tempoh 20 tahun dan perhimpunan terbesar sejak Operasi Lalang 1987 di Dataran Merdeka.
“Penduduk setinggan dan pekerja estet ambil bahagian dalam perhimpunan itu.
“Ia juga diiktiraf sebagai kebangkitan pekerja Malaysia kerana Hari Buruh tidak dianjurkan secara terbuka untuk tempoh yang lama,” kata Arulchelvan.
Katanya, sejak Hari Buruh 1994 dia sentiasa menjadi salah seorang penganjur perhimpunan itu sampai ke hari ini.
Perkara itu menyebabkan dia ditangkap dan disoal siasat banyak kali.
Sementara itu, PSM juga membuat permohonan mendaftar secara rasmi sehari sebelum Hari Buruh 1998.
“Kami daftar pada hari ini (30 April) kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tutup pada 1 Mei kerana cuti umum,” katanya.
Sementara itu, Arulchelvan berkata dia juga merekodkan tentang sambutan 10 tahun Hari Buruh dalam buku bertajuk Sambutan Hari Buruh di Malaysia – Merenung kembali sejarah sepuluh tahun (1994-2003).
“Sekarang saya sedang menyiapkan versi kemas kini buku itu untuk libatkan sambutan Hari Buruh sehingga 2021–yang akan menjadi kompilasi sejarah 30 tahun,” katanya.
Baginya, Hari Buruh turut mempunyai makna yang cukup peribadi.
“Secara emosi, ramai pekerja terkorban di sini dan seluruh dunia demi untuk memperjuangkan hak-hak pekerja.
“Hari ini, akhirnya Hari Buruh menjadi salah satu daripada lima hari cuti wajib bawah undang-undang pekerja Malaysia,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai