'Seperti rakyat, hakim juga harus lalui proses sewajarnya'
Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berpandangan hakim juga perlu melalui proses sewajarnya seperti setiap rakyat apabila dituduh melakukan kesalahan.
Dia mengulas ucapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini bahawa kritikan orang awam yang tidak berpuas hati dengan hakim tertentu dalam kes berprofil tinggi sebagai keterlaluan.
"Rakyat seperti kami bukan mahu hakim yang dituduh tersebut terus dihukum tetapi hanya mahu dia disiasat dahulu seperti orang lain yang dituduh atas kesalahan jenayah seperti rasuah.
"Jika dia tidak bersalah atau tiada bukti yang dia bersalah selepas disiasat, maka imej badan kehakiman akan lebih terjaga. Sebaliknya jika dia bersalah namun tidak boleh disiasat maka kredibiliti dan reputasi badan kehakiman akan terus dipersoal.
"Dan jika hakim tidak boleh disiasat atas tuduhan jenayah oleh pihak berkuasa dan apabila disiasat, rakan-rakan hakim mereka terus berkata ia adalah tohmahan semata-mata walaupun siasatan baru bermula atau belum selesai, maka bagaimana rakyat ingin percaya badan kehakiman itu adil dan tidak bias?" soalnya dalam surat terbuka kepada ketua hakim negara, yang dimuat naik di Facebook.
Isham berkata, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman akan goyah jika hakim tidak boleh disiasat apabila dituduh melakukan kesalahan.
Tambahnya, jika rakyat tidak yakin dengan sistem kehakiman, maka amat sukar untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Dia juga mendakwa di negara lain, terdapat kes di mana hakim telah dipenjarakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana jenayah yang mereka lakukan, seperti di UK, AS, Australia dan Kazakhstan.
'Tribunal kehakiman tidak mencukupi'
Tengku Maimun sebelum ini berkata badan kehakiman adalah barisan terakhir yang mempertahankan keluhuran demokrasi berperlembagaan.
Memahami perkara itu, Isham namun berkata konsep pengasingan kuasa bukan bermakna badan kehakiman tidak boleh menghalang hakim daripada disiasat.
"Tribunal kehakiman tidak memadai untuk menyiasat kes jenayah hakim.
"Jika hakim tidak boleh disiasat oleh pihak berkuasa dan hanya disiasat oleh rakan-rakan mereka sendiri di belakang pintu yang tertutup, maka demokrasi akan mati, dan badan kehakiman tidak akan lagi menjadi benteng pertahanannya malah ia akan menjadi penyebab keruntuhannya.
“Kita tidak boleh biarkan ini berlaku,” tambahnya.
Kontroversi ‘PASLeak'
Susulan penyebaran apa yang dikatakan sebagai dokumen 'PASLeak', badan kehakiman telah membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Isham, yang pernah menjadi pegawai Najib, juga telah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu ‘PASLeak’.
Dokumen yang bocor itu adalah ringkasan dakwaan pertemuan antara Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dengan tokoh politik lain dari Bersatu, Pejuang dan Umno antara 24 Mac dan 7 April.
Menurut dokumen itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu pemimpin PAS bahawa "peguam negara dan ketua hakim negara telah bersetuju untuk mempercepatkan kes dan hukuman" terhadap Najib dan Zahid
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai