Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam Loh: Maips 'menyibuk' bila mohon mencelah prosiding cerai

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) bertindak di luar bidang kuasa kawasannya apabila memohon untuk mencelah dalam prosiding cerai antara Loh Siew Hong dan suaminya yang merupakan seorang mualaf, menurut peguam ibu tunggal itu.

Namun, pasukan peguam Maips membalas dengan berkata majlis itu mempunyai kuasa antara negeri dalam isu memastikan kebajikan tiga anak Loh, yang ditukar agama kepada Islam tanpa kebenarannya.

Penghujahan tersebut dibuat ketika pendengaran di Mahkamah Tinggi Keluarga Kuala Lumpur.

Terdahulu, Maips memfailkan permohonan untuk mencelah dalam prosiding cerai di mahkamah sivil itu, agar mempunyai locus standi untuk menukar arahan hak penjagaan anak Loh.

Permohonan itu juga agar Maips dapat membuat permohonan variasi ke atas terma hak penjagaan tiga anak pasangan itu kepada Loh, untuk menjaga pendidikan Islam tiga kanak-kanak itu, berusia antara 11 hingga 14 tahun.

Ketika pendengaran di depan hakim Evrol Mariatte Peters, peguam Loh, A Srimurugan berkata enakmen negeri Perlis tidak memberi kuasa kepada Maips dalam isu di negeri lain.

Dia berkata prosiding cerai antara Loh dan Muhammad Nagahswaran Muniandy adalah isu di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah yang memberi Maips hak untuk terlibat.

Katanya lagi, isu perkahwinan dan penceraian warga bukan Islam tertakluk di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA), justeru menghalang penglibatan majlis agama negeri.

‘Maips hanya menjalankan tugas’

Peguam itu berkata lagi, undang-undang yang dibangkitkan Maips untuk mencelah sebenarnya menyatakan hanya pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung - seperti ahli keluarga - yang ada hak untuk berbuat demikian.

“...Ia untuk pihak yang terlibat dalam perkahwinan, bukan orang luar atau yang mahu menyibuk (busybody).

“Mereka (Maips) tak boleh datang ke mahkamah dan cuba mendapatkan variasi terma hak penjagaan untuk memberitahu (Loh) bagaimana untuk besarkan anak-anaknya.

“Akta (LRA) tidak merangkumi entiti korporat atau agama. Istilah ‘pihak berkepentingan’ (dalam LRA) perlu ditafsirkan hanya untuk kepentingan anak,” kata Srimurugan.

Peguam Maips, Mohamed Haniff Khatri Abdulla kemudian membantah tindakan peguam menggelarkan majlis agama sebagai pihak yang “menyibuk” dan berkata ia hanya menunaikan tanggungjawab bagi memastikan kebajikan anak-anak Loh.

Dia menegaskan enakmen negeri Perlis memberi kuasa kepada Maips untuk menyediakan pendidikan agama kepada mana-mana mualaf yang berdaftar di negeri itu, walaupun ketika mereka tinggal di negeri lain.

Loh dan tiga anaknya kini tinggal di Selangor.

“Maips ada tanggungjawab statutori dan mereka bukannya mahu menyibuk.

“Kita tidak sepatutnya fokus kepada hak ibu atau bapa, tetapi hak anak. Dari masa ke masa, ia adalah asas common law yang ditekankan dalam LRA,” katanya.

Dia berkata Maips bimbang dengan kebajikan kanak-kanak itu kerana ada laporan berita sebelum ini yang membayangkan mereka masih mengamalkan agama Islam walaupun di bawah jagaan ibu beragama lain.

[Baca berita asal]