Fahmi Reza kemuka representasi ke Jabatan Peguam Negara
Pereka grafik dan aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin atau dikenali sebagai Fahmi Reza mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik yang dimuat naik menerusi laman media sosial Twitter dan Facebook miliknya, tahun lepas.
Perkara itu dimaklumkan peguam N Yohendra yang mewakili Mohd Fahmi Reza, 45, semasa sebutan kes itu hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen MM Edwin Paramjothy.
Yohendra berkata surat representasi itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara semalam (28 April) dan salinan asal representasi itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang.
Dua pertuduhan komunikasi jelik itu adalah berhubung isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara dan pengharaman penjualan minuman keras di negara ini.
Dalam prosiding itu, mahkamah telah menetapkan tarikh-tarikh bicara iaitu pada 7 dan 20 Julai bagi pertuduhan komunikasi jelik isu kuarantin menteri manakala 8 dan 9 Ogos ini untuk komunikasi jelik berhubung isu minuman keras.
Mahkamah turut menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan bagi perkembangan representasi tersebut.
Pada 10 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara.
Mohd Fahmi Reza didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Feb 2021. Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya pada 4 petang, 11 Feb tahun sama.
Pada 17 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya menggunakan profil “Fahmi Reza” pada 11.45 pagi, 1 Jun 2021. Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur, pada 9 pagi, 2 Jun 2021.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai