Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belum ada perbincangan PRU15 di peringkat BN, kata Vigneswaran

Desakan sesetengah pemimpin Umno agar pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal tidak dibincangkan di peringkat kepemimpinan tertinggi BN, kata Presiden MIC SA Vigneswaran.

Katanya, pada masa sama semua orang memang sudah tahu memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) akan berakhir pada hujung Julai ini.

"PRU awal tidak bincang di peringkat BN (setakat ini), tapi semua orang tahu bahawa MOU akan tamat pada Julai.

"Jadi, semua orang ada pandangan masing-masing berhubung senario politik tanah air selepas tamatnya MOU," katanya.

Vigneswaran berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur, semalam.

Isu mengadakan PRU segera mula diperkatakan sesetengah pihak dalam Umno khususnya ketika parti itu mengadakan perhimpunan tahunannya baru-baru ini.

Bagaimanapun ada pihak tertentu dalam Umno berpendapat tiada keperluan parlimen dibubarkan segera.

Mereka juga mengingatkan bahawa kerajaan sudah menandatangani MOU bersama PH yang mengikrarkan tiada pembubaran parlimen sehinggalah 31 Julai.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin yang dilihat mengetuai gesaan untuk PRU ke-15 diadakan lebih awal susulan kemenangan besar Umno dalam dua pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Bagaimanapun, desakan itu ditolak oleh Perikatan Nasional (PN) sekutu Umno dalam kerajaan pusat.

Beberapa anggota kabinet Umno sendiri seperti Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pula kelihatan menentang gesaan tersebut.

Sementara itu, Vigneswaran berkata bahawa kemungkinan untuk PRU diadakan tidak lama selepas berakhirnya MOU dengan PH memang sangat jelas sekarang.

"Pada pandangan saya, tak kira PRU diadakan pada Ogos atau Okt, semua orang tahu bahawa PRU perlu diadakan sebelum tahun depan.

"Jadi, tindakan bijak ialah menyediakan jentera parti menghadapi pemilihan pada bila-bila sahaja," katanya.

Untuk rekod kali terakhir BN mengadakan mesyuarat ialah pada 28 Jan lalu iaitu menjelang PRN Johor.