Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tangguh projek pembangunan di 10 lokasi banjir - MP

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menggesa agar semua cadangan pembangunan di kawasan sekitar Kuala Lumpur yang terjejas banjir Isnin lalu dihentikan seketika agar penambahbaikan infrastrastruktur bagi langkah kawalan banjir dapat diutamakan.

Yeoh turut menyatakan kekecewaannya terhadap sikap sambil lewa pihak berwajib dalam menangani isu banjir kilat yang kerap kali berulang tetapi dilihat masih belum ada tindakan proaktif yang diambil.

“Tindakan daripada pihak berkuasa setakat ini hanya menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dan sumber sedia ada untuk menangani jumlah hujan yang luar biasa.

“Semua persoalan yang dibangkitkan mempunyai jawapan yang standard – menunggu kelulusan reka bentuk lukisan, kontraktor masih belum dilantik atau bergantung kepada kekerapan kerja pembersihan dan penyelenggaraan yang sedia ada.

“Melakukan perkara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza hanyalah perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Kenyataan Yeoh itu dibuat susulan penjelasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, yang meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan sumber sedia ada untuk menghadapi banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengeluarkan kenyataan dengan meyakinkan sistem kawalan banjir masih berfungsi dalam keadaan baik.

Yeoh berkata setelah banjir besar melanda Lembah Klang pada Dis tahun lalu pihaknya sudah mendesak pihak kerajaan untuk memandang serius isu tersebut.

Tindakan yang pernah dicadangkan, kata Yeoh, antaranya ialah mengekalkan semua kolam takungan banjir di Kuala Lumpur, menyelenggara sungai, memasang siren pelbagai bahasa dan sistem makluman SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada penduduk yang berisiko dilanda banjir.

Bagaimanapun selepas 4 bulan, tambahnya, cadangan tersebut masih belum dilaksanakan dan melalui proses birokrasi yang rumit.

Isnin lalu, hampir 10 kawasan di Kuala Lumpur ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat.

Antaranya Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kampung Pasir Segambut, Taman City, Kampung Kasipillay dan Kampung Sungai Penchala.