PASleak: Isham beri kata dua buat MB Kedah
Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil memberi tempoh 48 jam kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, untuk meminta maaf dan menarik balik kata-katanya yang disebut semalam.
Kata Isham kegagalan Sanusi bertindak begitu akan mendorongnya untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengemukakan saman fitnah.
Menganggap Sanusi "tidak semena-mena" mengaitkan dia dengan dokumen PASleak Isham berkata menggunakan perkataan "mungkin" tidak membebaskan seseorang daripada didakwa kerana memfitnah.
"Semalam dengan tidak semena-mena Sanusi pula tiba-tiba memetik nama saya. Dia kata kononnya minit mesyuarat (PASleak) itu mungkin ditulis oleh saya (kerana) saya ada kepentingan kepada dokumen itu, saya menggunakan dokumen itu, dan orang macam saya ada potensi untuk membuat dokumen itu.
"Jika Sanusi tahu undang-undang, tentunya dia tidak akan terlepas cakap apa yang dia telah sebut di atas. Sebab perkara-perkara di atas adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur-unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang," katanya dalam kenyataan hari ini.
PASleak merupakan minit mesyuarat - yang tidak dibuktikan kesahihannya setakat ini - didakwa hasil perbincangan beberapa pemimpin dalam kerajaan, khususnya melibatkan PAS dan Bersatu.
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dipetik namanya dalam dokumen tersebut menganggap PASleak sebagai sampah dan tidak perlu dilayan.
Tak siapa terlepas undang-undang
Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula melabel dokumen tersebut sekadar surat layang.
Semalam Sanusi berkata PAS sangat meragui dokumen tersebut, antara lain kerana penggunaan ejan yang salah serta tidak mengikut urutan kebiasaan format parti berkenaan.
"Saya kalau nak rancang perkara sebegitu (menjatuhkan kepimpinan Umno), saya tidak tulis. Orang bodoh sahaja tulis, selepas itu sebar bagi orang baca," katanya.
Untuk rekod Sanusi merupakan pengarah pilihan raya PAS Pusat.
Kata Isham ekoran kenyataan dibuat Sanusi itu, semalam dia bertanya kepada warganet mengenai langkah yang wajar diambil sebagai tindak balas.
Menurutnya beratus-ratus komentar mencadangkan dia mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanusi.
Justeru katanya dia akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk menyiasat kenyataan Sanusi.
"Tidak ada sesiapa yang boleh terlepas dari undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan.
"Saya juga beri tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepada saya dan menarik balik apa yang dia kata.
"Jika tidak saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah tindakan saman seperti yang disarankan netizen," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai