Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wisma Putra berterima kasih usaha selamatkan Nagaenthran

Wisma Putra berkata pihaknya berterima kasih terhadap usaha menyelamatkan rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam, yang menjalani hukuman matinya pagi tadi.

"Kementerian Luar Negeri (KLN) berterima kasih di atas penglibatan pertubuhan-pertubuhan serta organisasi bukan kerajaan yang berusaha supaya pelaksanaan hukuman mati ke atas Encik Nagaenthran dapat dikurangkan, selain inisiatif untuk memansuhkan hukuman mati.

"KLN mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Encik Nagaenthran.

"Kementerian melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada ahli keluarga beliau," kata KLN pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Wisma Putra, jemaah menteri juga sedia maklum akan pelaksanaan hukuman mati yang telah dilaksanakan ke atas Nagaenthran.

Menjelaskan lajut, Wisma Putra berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah minggu ini telah sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat mereka di Singapura sebagai usaha bagi memohon Singapura menimbang dan meringankan hukuman yang dikenakan ke atas Nagaenthran.

Gambar terakhir Nagaentran sebelum hukuman mati.

Kementerian Luar turut mengambil maklum pelbagai ikhtiar bagi menyelamatkan Nagaenthran daripada tali gantung, termasuk perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menulis warkah kepada Presiden Singapura Halimah Yacob.

"Pada Disember 2021, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI juga telah mengutuskan warkah kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Encik Nagaenthran.

"Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang telah dikemukakan oleh kerajaan Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu," kata kenyataan itu lagi.

Nagaenthran, 34, menunggu hukuman mati selama lebih sedekad selepas didapati bersalah mengedar 55g heroin ke Singapura.

Ibunya semalam gagal dalam cabaran undang-undang terakhir untuk mendapatkan pengampunan dalam kes berprofil tinggi, yang menarik perhatian antarabangsa itu.

Seperti Singapura, Malaysia juga mengenakan hukuman mati bagi pengedaran dadah.

Di bawah Pakatan Harapan, kabinet bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati.