Penduduk adukan isu tandak air, MP kata MB dah batalkan lesen balak
Mendakwa berlaku kerosakan terhadap tandak air (kolam takungan) kerana aktiviti pembalakan, penduduk sekitar Mengkebang, Kuala Krai, menggesa Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob segera turun tangan untuk mengatasinya.
Wakil penduduk Ali Hanapiah Mohamed berkata pihaknya difahamkan sebanyak 1,000 hektar kawasan hutan dijadikan lokasi pembalakan yang secara tidak langsung turut menjejaskan empat tandak yang menjadi sumber air utama penduduk.
Menurutnya, susulan keadan itu sumber air yang diterima penduduk menjadi kotor, berpasir dan keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila bekalan terputus serta menganggu aktiviti seharian penduduk di sana.
"Tandak di kawasan itu sudah dibuka sejak 1989 bagi kemudahan masyarakat setempat dan masalah mula wujud sejak 1990-an apabila pembalakan berjalan.
"Kini, ia semakin parah kerana mula mengganggu sumber air utama kami.
"Justeru penduduk berpakat untuk menandatangani memorandum sebelum dihantar kepada menteri besar dengan menyatakan beberapa hasrat khususnya supaya membatalkan pembalakan yang diluluskan," katanya.
Terdahulu Ali Hanapiah menyerahkan memorandum pengguna tandak air Mengkebang kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, di hadapan Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Katanya antara lain memorandum itu menyatakan hasrat penduduk agar kerajaan negeri mewartakan hutan berkenaan sebagai kawasan kekal sumber air.
"Ia seperti yang dilakukan bagi kawasan Gunung Stong, Dabong dan sekiranya berlaku kecuaian dengan meluluskan pembalakan ia perlu diperbetulkan semula," katanya yang hadir bersama lebih 20 penduduk.
Sementara itu Anggota Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman menjelaskan terdapat empat tandak air dalam kompartmen 98 dan 101 di kawasan Hutan Simpan Sungai Durian itu.
Jangan menangguk di air keruh
Namun kedua-kedua kompartmen itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air dan tidak dibenarkan sebarang pembalakan.
Bagaimanapun isu timbul apabila dua kompartmen bersebelahan - iaitu 99 dan 100 - diberikan lesen untuk tujuan pembalakan.
Hasil tinjauan, katanya, tiada sebarang kerja-kerja pembalakan dilakukan, melainkan hanya sebuah jentolak milik pembalak ditempatkan di kawasan kompartmen yang baru diluluskan.
"Hasil tinjauan kami juga, kawasan kompartmen 99 dan 100 jika berlaku pembalakan akan menjejaskan kawasan tadahan air sekali gus merosakkan tandak air sedia ada.
"Walaupun terdapat cadangan untuk memindahkan tandak air ke kawasan baru, ia tidak boleh menyesaikan masalah jika dua kompartmen ini dibenarkan untuk pembalakan.
"Hasil lawatan ini, jawatankuasa tandak air tersebut menghantar surat bantahan pada 17 April 2022 dan memohon menteri besar membatalkan lesen pembalakan di dua kompartmen tersebut serta-merta demi menjaga keperluan air hampir 7,000 penduduk, masjid, sekolah dan beberapa buah surau.
"Saya dimaklumkan bahawa menteri besar Kelantan telah membatalkan lesen berkenaan pada 18 April lalu bagi menjamin sumber air yang mencukupi kepada penduduk terlibat.
"Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan di sebalik apa jua isu yang berlaku," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai