Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM seru masjid, surau 'berinteraksi' dengan al-Quran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyeru organisasi masjid, surau dan individu meluangkan masa di lokasi masing-masing untuk 'berinteraksi' dengan al-Quran selama satu jam bermula 12 tengah hari ini.

Katanya ia bersempena penganjuran World #QuranHour (WQH) 2022 yang bertemakan 'Dunia Bersujud' dengan memilih surah ke-32, as-Sajdah, sebagai surah utama.

"WQH memilih surah as-Sajdah sebagai surah utama yang mengajak orang ramai menghayati erti sebenar bersujud dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT, yang dapat membuang sifat ego atau sombong untuk berjaya di dunia dan akhirat.

"Surah itu juga menjadi panduan untuk kerangka minda dan penyatuan ummah melalui aspek ekonomi dan pendidikan, sekali gus memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian dengan bersujud kepada Allah SWT," katanya dalam ucapan khas sempena WQH menerusi video yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Perdana menteri berkata walaupun program itu berlangsung selama sejam, dia berharap WQH mampu menaikkan imej Islam sekali gus memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

"Harapan saya surah ini bukan sekadar dibaca tetapi diamalkan dalam kehidupan kita.

"Semoga usaha baik untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seperti dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinergi dapat diteruskan dan dirahmati," katanya.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada rakan sinergi WUIF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pusat Pelancongan Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Sinar Harian, TV AlHijrah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Majlis Permuafakatan Angkatan NGO-NGO Malaysia atas penganjuran WQH 2022.

WQH kembali untuk tahun ketujuh membawa tema 'Dunia Bersujud' sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan 'Baca, Faham dan Amal al-Quran' dalam kalangan masyarakat.

- Bernama