Beberapa akta perlu dipinda jika benarkan tanam ketum, hemp
Beberapa akta dan prosedur perlu dipinda jika kerajaan membenarkan penanaman ketum dan hemp di negara ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob Khan berkata antara pindaan perlu dilaksanakan melibatkan Akta Racun Negara 1952, kerana ketum mengandungi bahan psikoaktif yang boleh menyebabkan leka dan lalai, serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.
“Ketika ini menanam ketum tidak menjadi kesalahan tetapi apabila dipetik, diproses, dijual dan dieksport maka ia menjadi suatu kesalahan.
“Memandangkan kuasa mengurus tanah berada di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, maka ia juga perlu dipinda. Kita akur dengan sebarang keputusan kerajaan namun banyak prosedur dan proses perlu dilalui,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, setakat ini ujian kesan penggunaan ketum hanya dibuat pada haiwan, tetapi di peringkat praklinikal sahaja namun ujian klinikal tidak dibuat ke atas manusia bagi mengenal pasti kesan sampingan.
“Banyak kajian perlu dibuat, contohnya ada mengatakan kalau tanam ketum akan dapat hasil kira-kira RM180 juta setahun.
“Bagaimanapun, kos lain perlu dilihat. Contohnya buat masa ini, kita ada kira-kira 130,000 penagih manakala 25 peratus daripadanya (36,000) akan diletakkan di bawah Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Narkotik (Puspen),” katanya.
Selain itu, Ayob Khan berkata Agensi Anti Dadah Kebangsaan juga tidak mempunyai program khas pemulihan bagi penyalahgunaan ketum.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dilapor berkata Kabinet memberi kebenaran, supaya perbincangan dilakukan pihaknya mewakili Parlimen Padang Besar dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai kebenaran penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai