Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Dokumen PASleak disebar agar Muafakat Nasional tak digerakkan semula'

Penyebaran 'PASLeaks' dibuat oleh pihak yang tidak mahu melihat Muafakat Nasional (MN) digerakkan semula selain meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu dalam Umno terhadap PAS.

Bekas Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata PASLeaks yang tular di media sosial bukan minit mesyuarat atau sebarang perancangan sebaliknya suatu catatan yang tidak diketahui dibuat oleh siapa dan sama ada kandungannya benar atau ditokok tambah.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa itu berkata bagi Umno, PASLeaks dilihat boleh mencetuskan semula polemik dua mazhab iaitu 'Umno go solo' dan 'Muafakat Ummah.'

"Bagi penyokong mazhab Muafakat Ummah, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun. Lebih baik bertanya kepada PAS dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka," katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Dia berkata bagi penyokong mazhab itu, MN masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua per tiga majoriti pada PRU15.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata bagi penyokong mazhab 'Umno go solo' pula, berita yang tidak diketahui sumbernya itu disambut ibarat 'orang mengantuk disorongkan bantal' kerana ia disebar secara meluas kepada ahli Umno, ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi bahawa ia 'minit mesyuarat PAS untuk menghancurkan Umno.'

"Matlamat akhirnya adalah PAS perlu dibenci oleh UMNO; MN mesti dibenam sedalam-dalamnya dan hanya dengan bertanding solo, Umno dan BN akan mencapai kemenangan mutlak dua per tiga majoriti.

"Ia kerana ketika ini, UMNO dalam posisi yang sangat kuat dan bukti daripada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Umno telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU15 dilaksanakan sekarang," katanya.

Dia turut mengingkatkan pihak berkaitan agar membuat pertimbangan yang betul sebelum mendesak PRU15 diadakan.

Tun Faisal merujuk situasi pada PRU14 apabila Pegawai Khas Perdana Menteri ketika itu yakin BN akan menang besar dua per tiga majoriti dan mengajak meraikan kemenangan seawal 6.30 petang pada hari mengundi walaupun Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) meramalkan BN akan kalah dan hanya memenangi maksimum 90 kerusi.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan Umno dan BN.

-Bernama