'Selamatkan Nagaentharan' - Tunjuk perasaan di kedutaan S'pura
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura, di Kuala Lumpur petang ini untuk menunjukkan sokongan kepada N Nagaentharan, warga Malaysia orang kelainan upaya (OKU) intelek yang akan dihukum mati minggu depan atas kesalahan mengedar dadah.
Kumpulan yang terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli parti MIC dan orang ramai itu turut menyerahkan memorandum menggesa Singapura menghentikan hukuman mati terhadap lelaki berusia 33 tahun itu.
Timbalan Ketua Pemuda MIC Andrew David, yang merupakan salah seorang penganjur perhimpunan, berkata republik itu harus mempertimbangkan untuk memberikan pengampunan terhadap Nagaentharan kerana dia mengalami masalah mental.
"Kami berkumpul di depan kedutaaan Singapura, untuk membantah hukuman gantung Nagaentharan yang dihukum kerana seludup dadah jenis heroin.
"Tetapi kami sekeras-kerasnya membantah hukuman itu dan menyeru kerajaan Singapura untuk meneliti hukuman tersebut kerana Nagaentharan ini seorang yang kurang waras pemikiran.
"Jadi kami dapati tidak adillah bagi menjatuhkan hukuman keras begini," kata Andrew kepada Malaysiakini ketika dihubungi selepas perhimpunan itu.
Katanya, kumpulan tersebut dapat menyampaikan memorandum kepada wakil Kedutaan Singapura dan berharap kerajaan republik itu akan mempertimbangkan rayuan mereka.
Penganjur mendakwa jumlah hadirin antara 200 ke 300 orang manakala Malaysiakini menganggarkan sekitar 100 orang.
Turut hadir semasa protes itu ialah sekumpulan peguam dan aktivis, termasuk peguam N Surendran yang mewakili Nagaentharan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Surendran berkata kehadiran orang ramai menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib yanf menimpa Nagaentharan.
Katanya, hal itu suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan percaya ramai yang bimbang tentang hakikat bahawa seorang lelaki yang mengalami masalah mental akan dihukum bunuh.
“Kami tidak pernah melihat rakyat Malaysia tampil dalam jumlah seperti ini berbanding kes rakyat Malaysia lain yang terperangkap dalam situasi hukuman mati di luar negara sebelum ini.
"Ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ia juga berkaitan dengan fakta bahawa Nagaentharan seorang OKU intelek dan ramai rakyat Malaysia mengambil berat tentang perkara itu," katanya.
Surendran juga menggesa kerajaan Malaysia melakukan lebih banyak lagi untuk membantu anak guamnya, mencadangkan Putrajaya sama ada membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau membuat representasi kuat kepada kerajaan Singapura supaya menghentikan pelaksanaan hukuman itu.
Nagaenthran telah dihukum mati selama lebih sedekad lalu kerana mengedar kira-kira 42.7g heroin ke Singapura, yang mempunyai beberapa undang-undang narkotik paling keras di dunia.
Para peguamnya berhujah Nagaenthran mengalami masalah fungsi intelektual (borderline intellectual functioning) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), memiliki skor IQ pada tahap 69, dan kemahiran pemfungsian eksekutifnya terganggu.
Nagaenthran dijadual digantung pada 10 Nov tahun lalu tetapi diberi penangguhan hukuman mati pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan jam 11.
Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura menolak cabaran itu, ia membenarkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu sepatutnya didengar pada November tetapi ditangguhkan ke Mac tahun ini apabila Nagaentran disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov.
Kes Nagaenthran telah mendapat perhatian penting daripada media antarabangsa, dengan perhatian khusus terhadap langkah Singapura untuk menghukum mati seseorang yang kurang upaya intelek.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai