Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saravanan: Isu buruh paksa ambil masa kerana 'sampah' PH

Menteri Sumber Manusia M Saravanan membalas sindiran pendahulunya M Kulasegaran dengan berkata isu buruh paksa mengambil masa untuk diselesaikan kerana pengurusan tidak cekap ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir selama 22 bulan.

Ini selepas Kulasegaran menggelar tindakan pemimpin MIC itu melucukan dalam menangani isu buruh paksa.

Saravanan juga berkata kementeriannya sedang maju ke hadapan dalam menangani isu buruh paksa dan gaji minimum.

"Kula Oh Kula! Ia bukan tentang ketidakupayaan. Ia mengambil masa untuk membersihkan ‘sampah’ yang anda tinggalkan dalam tempoh 22 bulan anda berada di sana (kementerian).

"(Isu) buruh paksa dan gaji minimum adalah kucar-kacir. Sekarang kita sedang maju ke hadapan," katanya dalam ciapan di Twitter, petang tadi.

Terdahulu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat secara sinis berkata tindakan Saravanan yang meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia untuk memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa di negara ini dianggap "melucukan."

Kulasegaran berkata permintaan itu satu cubaan yang lemah untuk menutup ketidakmampuannya dalam mengekang isu buruh paksa di Malaysia.

"Saravanan mesti tidak tahu cara siasatan berfungsi. Jika, siasatan didedahkan sebelum tindakan diambil, apakah kebaikan penyiasatan itu?

“Mungkin dia fikir masyarakat antarabangsa boleh 'dibeli' dan terpengaruh,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini, Saravanan meminta ILO dan Kedutaan AS untuk memaklumkan siasatan terhadap isu buruh paksa selepas siasatan oleh pihak Malaysia tidak dapat mengesan sebarang kesalahan.

Menurutnya, kerajaan telah membuat siasatan berdasarkan 11 petunjuk buruh paksa sedia ada yang digariskan ILO tetapi tidak dapat mengesan kesalahan.

"Beberapa produk telah dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas alasan faktor buruh paksa, namun sehingga kini KSM tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.

"Ini menjadikan kita sukar mengambil tindakan terhadap majikan.

"Maka, (kita) jumpa pihak ILO dan Kedutaan AS supaya sebarang siasatan oleh pihak AS harus dimaklumkan kepada kita, kerana jika tidak kita tidak akan nampak penyelesaian," katannya, semalam.