Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kekurangan guru: Teo sarankan KPM guna pendekatan 'luar kotak'

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diminta bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dihadapi ratusan calon berkelayakan yang 'tercicir' ekoran gangguan sistem baru-baru ini.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata kerana keadaan itu mereka gagal dalam permohonan program pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan one-off pada 2021.

Dalam kenyataannya hari ini Teo berkata ada beratus-ratus pemohon yang ditolak walaupun mereka melepasi ujian temu duga pada tahun lalu.

“Ada beratus-ratus pemohon yang telah lulus temu duga tahun lepas, tetapi permohonan mereka dianggap ‘diabaikan’ oleh SPP berikutan masalah sistem.

"Selepas lulus temu duga, pemohon terbabit diminta mengemukakan dokumen tertentu selewat-lewatnya 15 Dis 2021 dan ia telah mereka patuhi dengan sewajarnya.

"Namun begitu, pemohon itu tidak menerima surat tawaran mereka walaupun sudah menyerahkan dokumen mereka pada tarikh akhir yang ditetapkan SPP," katanya.

Antara mereka itu, tambah Teo, ialah pemegang diploma penddikan dengan pengkhususan Bahasa Cina dari Universiti Malaya (UM), selain graduan TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua).

Kata ahli parlimen Kulai itu lagi kedua-dua bidang berkenaan kini sedang berdepan dengan masalah kekurangan guru yang serius.

"Adalah sia-sia jika pemohon yang berkelayakan, yang telah lulus temu duga tetapi tidak mendapat penempatan mereka.

"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan SPP patut berhenti saling menyerahkan isu berkenaan antara satu dengan lain, sebaliknya berbincang bersama untuk menangani puncanya," tambah jurucakap pendidikan DAP berkenaan.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan seramai 4,828 calon dipilih bagi pengambilan one-off guru bagi gred DG41.

Program pengambilan melibatkan 18,702 guru itu merupakan usaha KPM menangani masalah kekurangan guru ketika ini.

Tahun lalu sekumpulan pelajar UM yang mengemukakan permohonan melalui program tersebut mendakwa mereka ditolak walaupun SPP melanjutkan program pengambilan kepada siswazah penggal akhir.

Kata Teo, ketika negara dimaklumkan ada lebih 10,000 guru mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada setiap tahun sejak kebelakangan ini, ditambah dengan persaraan wajib guru lain, masalah kekurangan guru akan menjadi lebih serius.

"Sampai masanya untuk KPM mencari penyelesaian di luar kota. Kita mesti mempelbagaikan cara penerimaan guru baru," katanya.

“Ketika ini KPM menggunakan kaedah pengambilan guru yang sempit dan ketinggalan zaman apabila mereka yang menjalani latihan di institut latihan perguruan dan kursus universiti awam diambil.

"Ramai bakat di luar kumpulan atau kategori itu tidak mempunyai peluang untuk menjadi guru di sekolah melainkan dengan cara pengambilan khas," katanya.