Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

NGO gesa KDN campur tangan selamatkan Nagaenthran

Sebuah NGO serantau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan dalam keputusan hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam dengan membawanya pulang sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkannya rakyat Malaysia terbabit.

Nagaenthran - yang memiliki tahap IQ rendah - dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura pada Rabu depan.

Anti-Death Penalty Asia Network (Adpan) menyerahkan memorandum kepada KDN menyeru kementerian itu untuk terlibat dengan rakan sejawatannya dari Singapura bagi proses pemindahan banduan atas dasar kemanusiaan.

Penyelaras Eksekutif Adpan, Dobby Chew, berkata ia adalah percubaan terakhir untuk menyelamatkan Nagaenthran dan ia melihatkan proses diplomatik membabitkan kedua-dua negara.

“Mari kita dapatkan kembalikan orang kita supaya kita dapat melaksanakan hukuman itu di Malaysia.

“Jika tiada tindakan diambil, Singapura sudah pasti akan melaksanakan hukuman mati ke atas Nagaenthran walaupun ia bertentangan dengan kewajipan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa negara itu.

"Nagaenthran telah menggunakan semua saluran undang-undang (yang tersedia untuknya), dan rayuan pengampunannya ditolak," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di PutraJaya, hari ini.

Alami kecacatan intelek

Dalam memorandumnya, Adpan berkata proses pemindahan banduan dibenarkan secara bersyarat mengikut Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012.

Katanya Adpan mengetahui ada kes-kes pemindahan banduan antarabangsa berlaku secara ad hoc antara kerajaan, terutamanya membabitkan isu ihsan.

"Kami percaya kes Nagaenthran termasuk dalam kategori itu, justeru Putrajaya patut mengadakan rundingan dengan Singapura agar Nagaenthran dikembalikan dan menjalani hukuman di Malaysia," katanya.

Adpan menambah terdapat faktor yang diberi pertimbangan dalam mana-mana proses pemindahan banduan antarabangsa, seperti kebimbangan kemanusiaan dan kerjasama antarabangsa.

“Dalam kes Nagaenthran, ada aspek keprihatinan kemanusiaan di sebalik kesnya, seperti ketidakupayaan intelektual dan isu kesihatan mental, menjadikannya dia calon utama buat kerajaan Malaysia mempertimbangkan rundingan dengan Singapura bagi membolehkan dia dipindahkan ke Malaysia dan menjalani hukumannya di sini.

"Pertimbangan dasar utama untuk memindahkannya kembali ke Malaysia adalah di bawah kategori (i) kebimbangan kemanusiaan; dan (ii) penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama antarabangsa.

"Memandangkan dia disabitkan atas dasar keldai dadah, hukuman penjara di Malaysia memberi peluang untuk siasatan lanjut terhadap sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di kedua-dua negara," katanya.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati selama lebih sedekad lalu kerana mengedar kira-kira 42.7g heroin ke Singapura, negara yang mempunyai antara undang-undang narkotik yang paling keras di dunia.

Peguamnya berkata dia mengalami kecacatan intelek ringan kerana memiliki IQ di bawah 69 iaitu lebih rendah berbanding kadar orang biasa.

Nagaenthran dijadualkan digantung pada 10 Nov 2021 tetapi diberikan penangguhan pelaksanaan pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan pada saat akhir.

Walaupun Mahkamah Tinggi menolak cabaran itu, ia membenarkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu sepatutnya didengar pada Nov 2021 tetapi ditangguhkan ke Mac apabila Nagaenthran disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov.

Kes Nagaenthran telah mendapat perhatian media antarabangsa dengan perhatian khusus terhadap langkah Singapura untuk menghukum mati seseorang yang kurang upaya intelek.

Diasaskan di Hong Kong pada 16 tahun lalu, Adpan merupakan NGO yang berkempen untuk menamatkan hukuman mati di seluruh Asia dan serantau Pasifik.

[Baca berita penuh]