Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SOP pelitup muka dilonggar: MP gesa garis panduan jelas

Putrajaya digesa mengeluarkan garis panduan pemakaian pelitup muka yang disasarkan kepada kumpulan tertentu apabila nanti kerajaan akhirnya memutuskan untuk menghapuskan mandat pelitup muka.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata pelitup muka masih berguna bagi mereka yang mempunyai imuniti terjejas atau individu yang tinggal bersama mereka.

"Dalam kes sedemikian adalah idea yang baik untuk terus memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak sosial di sekitar orang yang tidak dikenali, terutamanya di dalam rumah dengan virus mungkin berkumpul di udara.

"Pelitup muka juga penting jika anda tidak divaksinasi atau menghabiskan masa dengan orang lain yang tidak divaksinasi.

"Orang yang tidak divaksinasi termasuk kanak-kanak mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk dimasukkan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.

"Pelitup muka juga merupakan satu kemestian di hospital atau kemudahan penjagaan kesihatan, di mana terdapat ramai orang yang terdedah," kata Yii, yang dilatih sebagai doktor perubatan.

Yii berhujah pengguguran mandat memakai pelitup muka di beberapa negara telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam kes Covid-19 yang mungkin boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan.

Sebaliknya, mandat pemakaian pelitup muka di Malaysia telah membantu semasa gelombang omicron Covid-19, dakwa Yii.

Semalam, Bukit Aman menarik balik arahan supaya polis menghentikan penguatkuasaan mandat pemakaian pelitup muka.

Pelitup muka diwajibkan melalui peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pesalah yang ingkar boleh didenda sehingga RM1,000.

Pelitup muka juga salah satu daripada beberapa SOP Covid-19 yang masih diamalkan, di samping penggunaan aplikasi MySejahtera untuk tujuan "daftar masuk" dan penjarakan fizikal.

[Baca berita asal]